Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menuntut Jabatan Pendaftaran Negara JPN mengeluarkan senarai nama dan nombor Mykad yang tidak dituntut di semua pejabat JPN di setiap negeri dan daerah di Malaysia.
“Kita bimbang jika nama dan nombor pada kad yang tak dituntut itu wujud pula dalam senarai daftar pemilih SPR. Ini kerana kad yang tidak dituntut selepas 18 bulan perlu dipulangkan kembali kepada JPN,” kata Mahfuz kepada Keadilandaily.
“Tapi. sehingga hari ini JPN tak pernah mengeluarkan senarai Mykad yang tak dituntut, jumlahnya dan berapa yang telah dilupuskan,” katanya.
Tegas Mahfuz, jika prosedur mengembalikan Mykad dilakukan, justeru jumlah Mykad dilupuskan juga perlu didedahkan.
“Hakikatnya, memang wujud prosedur dalam JPN,” katanya sambil menegaskan isu tersebut bukan semata-mata surat palsu.
“Dan saya nak tanya, bila JPN sedar surat itu palsu? Sebab itu kita minta penjelasan JPN,” soalnya.
Mahfuz sebelum ini meneirma surat bertarikh 14 Disember degan kepala surat mengarahkan kad pengenalan serta Mykid yang tidak dituntut dalam 18 bulan dihantar melalui pos ke Keningau, Sabah.
Ia dinafi Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein, manakala Jabatan Pendaftaran Negara membuat laporan polis berhubung hal terbabit 31 Januari lalu.