Deepak Jaikishan mendakwa secara bertulis, seseorang yang tidak dinamakan telah menyediakan satu akuan berkanun (SD) yang menyatakan, dia diarah membunuh Altantuya oleh orang atasan terdekatnya yang menerima arahan daripada Najib Razak.
Justeru, ahli Biro Politik KEADILAN, Sivarasa Rasiah beliau mendesak Pejabat Peguam Negara dan polis membuka semula siasatan pembunuhan dan merakam kenyataan Deepak.
Siva merujuk pendedahan laman ‘Malaysia-Chronicle’ menerusi artikel ‘Order for Altantuya murder came from Najib, Baginda was sexually impotent – Deepak claims’ yang diterbit pada 12 Februari 2013.
“Tiada tindakan bermakna meneruskan konspirasi menyembunyikan kebenaran,” kata Sivarasa dalam kenyataan.
Menurut artikel tersebut, Deepak mengulangi penglibatan Rosmah Mansor dalam proses membuat SD kedua yang dilakukan Bala.
Deepak mendedahkan, diarahkan mengeluarkan ‘fakta tertentu dan butiran panas’ urusan antara Najib dan Altantuya.
Deepak turut mendedahkan bahawa dia telah membuat pembayaran kepada Najib dan Rosmah daripada ‘hasil Glomac Tower kepada sebuah anak syarikat Kuwait Finance House’.
“Bukti ini telah direkodkan oleh Datul Jamidan, pengarah kanan dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pada 2011.
“SPRM perlu menjelaskan segera kepada rakyat Malaysia sama ada dakwaan pembayaran kepada Najib dan Rosmah adalah benar.
“Kami juga menunggu respon SPRM mengenai dakwaan Deepak disokong dokumen bahawa dia telah memberi hadiah yang mahal dalam bentuk berlian dan barang kemas untuk Rosmah.
“Akhirnya, untuk kali pertama Deepak terdetik menyatakan dengan bertulis khabar yang melingkari negara sejak pembunuhan yang berlaku pada Oktober 2006 berhubung penglibatan Najib dan isteri dalam pembunuhan Altantuya,” kata Siva.