Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mencabar tauke permaidani, Deepak Jaikishan membuat perakuan bersumpah (statutory declaration) berhubung pendedahannya mengenai penglibatan pegawai isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu.
“Kalau dia (Deepak) yakin dengan kebenaran, lebih baik buat akuan bersumpah, supaya percakapannya diikat dengan Akta Perakuan Berkanun (1960),” kata Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada Keadilandaily.
Pada 6 Februari 2013, pada sidang media di ibu pejabat Pas, Deepak menyatakan dia 90 peratus yakin pegawai Najib Razak dan Rosmah berada di lokasi Altantuya dibunuh.
“Deepak kena nyatakan nama pegawai tersebut. Apakah pegawai itu ialah orang selain daripada Azilah Hadri dan Sirul Azhar?, soal Shamsul.
Jelas Shamsul, tidak salah untuk Deepak menggunakan media untuk membuat pendedahan, namun melalui SD, pihak atau individu yang terlibat dengan pembunuhan dibawa ke muka pengadilan.
“Kalau ada bukti baru dalam kes ini, ia boleh dijadikan innuendo (sandaran) penglibatan Rosmah. Dan kita kesal pihak polis tidak teruskan semula siasatan,” kata Shamsul.
19 Disember lalu, AMK diketuai Shamsul sendiri membuat laporan di ibu pejabat polis Petaling Jaya menuntut siasatan pendedahan Deepak berhubung penyediaan akuan bersumpah (SD) kedua penyiasat persendirian P Balasubramaniam.
“Manakala Azilah dan Sirul kekal didapati bersalah sementara menunggu rayuan,” katanya menyifatkan ‘ada orang’ selain Razak Baginda dalam motif pembunuhan.
Mahkamah Rayuan menetapkan tiga hari mulai 11 Jun 2013 untuk mendengar rayuan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang dihukum gantung sampai mati.
Peguam yang mewakili Sirul Azhar, Kitson Foong akan membangkitkan lebih daripada 20 isu semasa rayuan.