Badan Perhubungan PAS Negeri Perak menggesa Ahli PAS seluruh negeri Perak agar menaikkan bendera PAS di setiap Rumah mereka bagi menunjukkan kesediaan PAS Perak dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 yang akan berlaku pada bila-bila masa.
Ketua Penerangan, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Ahmad Nuri Al Amin berkata demikian mengulas situasi yang semakin hampir dengan pembubaran DUN. Katanya, PAS Perak dalam keadaan siap siaga. Bilik Gerakan di setiap Unit Peti Undi (UPU) telah mula digerakkan manakala pertemuan semakin kerap antara jentera Pakatan Rakyat.
“Kehangatan bahang PRU 13 semakin dirasai melihat Barisan Nasional (BN) juga telah menaikkan bendera-bendera mereka termasuk arahan membuka 7,531 Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN di 222 kawasan parlimen seluruh negara. Situasi ini jelas menunjukkan betapa hampirnya PRU 13 dengan pelbagai program yang menyalahgunakan jentera kerajaan telah diadakan dengan lebih kerap bagi meraih undi rakyat.
“Kami yakin sejarah kejatuhan BN Perak pada PRU 12 tahun 2008 mampu diulangi kembali kerana BN ternyata gagal menggunakan tempoh selama tiga tahun selepas ‘rampasan kuasa’ bagi memberi keyakinan kepada rakyat terhadap akauntibiliti dan ketelusan mereka mentadbir negeri tanpa penyalahgunanaan kuasa dan rasuah.
“Apa yang berlaku pada Sambutan Tahun Baru Cina BN Pulau Pinang yang lalu adalah antara contoh nyata penolakkan rakyat terhadap pemerintahan BN. Malah insiden yang sama pernah berlaku di Perak selepas ‘rampasan kuasa’ dalam sambutan yang dihadiri oleh Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir apabila beliau ‘diboo’ oleh hadirin.
“Marilah kita tunggu kemuncak tarikh PRU 13 yang akan diumumkan dengan menyemarakkan bendera dan logo Parti bagi membuktikan bahawa kita dari Pakatan Rakyat (PR) sudah bersedia bagi berdepan dengan BN pada PRU 13 ini,” katanya.
Tambahnya, PR di Perak sudah lama menantikan PRU 13 ini bagi mengembalikan kuasa rakyat yang telah dirampas selain menunjukkan PR tidak bertindak di luar lunas undang-undang demi mementingkan kuasa seperti dimomok-momokkan oleh BN bahawa PR akan melakukan huru-hara jika kalah di dalam PRU 13.