Perwakilan Orang Asal Sarawak, John Anthony Brian berkata, selama 55 tahun ditadbir di bawah Umno-BN, negeri itu kekal miskin, meskipun kaya sumber minyak, balak dan tanah.
“Negeri kaya, balak banyak, tanah banyak, minyak ada, tapi miskin. Dari (penjajahan) British, sampai sekarang penjajahan Umno,” katanya.
Justeru katanya, tawaran 20% royalti minyak dari 5% sebelum ini adalah pilihan terbaik untuk rakyat Sarawak.
Dalam pada itu, Anthony turut mempersoalkan semangat pembentukan Malaysia yang meragukan rakyat Sarawak yang dicerminkan melalui status ‘Lain-lain’ kepada orang Asal Sarawak dan Sabah dalam banyak urusan rasmi dan tidak rasmi.
“Mereka suruh daftar guna komputer. Masalahnya, nak guna komputer pun tidak tahu. Seperti kita tak ada hak, kerana polisi Umno yang tak sesuai,” tambahnya.
Kata Anthony, pembinaan infrastruktur di Sarawak terlalu perlahan, dalam masa yang sama semua jawatan penting termasuk agensi dan GLC di Sarawak dimonopoli pimpinan BN Sarawak.
Justeru, tawaran Pakatan Rakyat untuk membina lebuh raya Pan-Borneo akan membantu meningkatkan pembangunan di Sarawak dan Sabah, berbanding sebelum ini ada pesakit di kawasan pedalaman tidak dapat ke hospital kerana kekurangan infrastruktur.
“Manifesto Pakatan Rakyat menegaskan perkongsian kuasa yang baik. Ini kalilah,” katanya disambut teriakan sama hadirin.