Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) ATM dan pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Mindanao seharusnya lebih serius ‘bekerja’ meskipun dalam suasana aman, kata Presiden Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan), Asri Buang.
Justeru kata Asri, pencerobohan Lahad Datu hingga menyebabkan kematian menunjukkan kelemahan pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Mindanao yang gagal menghidu pergerakan tentera Kesultanan Sulu.
“Jeneral Konsulat dan perisik ATM harus tahu lebih awal, aktiviti, kekuatan dan persenjataan kumpulan Kesultanan Sulu. Masalahnya, risik (BSPP) sendiri tak tahu,” kata Asri kepada Suara Keadilan.
Antara kumpulan bersenjata di selatan Filipina ialah Pertubuhan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Pertubuhan Pembebasan Islam Moro (MILF), sayap bersenjata Parti Komunis Filipina (CPP) iaitu New People’s Army dan kumpulan pengganas Abu Sayaf.
“Terakhir yang diketahui ialah tentera Kesultanan Sulu. Aktiviti mereka mesti diikuti oleh Jeneral Konsul di Mindanao. Sepatutnya BSPP menitikberatkan keselamatan negara dengan mengetahui aktiviti kumpulan pengganas di negara berjiran,” katanya.
Jelas Asri, pejabat Konsul Jeneral Malaysia terdiri dari kakitangan pentadbiran awam, namun bekerjasama dengan risikan ketiga sayap perkhidmatan ATM, Darat, Laut dan Udara.
“Mengapa tak dapat butir-butir terperinci untuk ditaklimat di (bahagian) perisikan Kementerian Pertahanan, sehiggakan perairan dan pesisiran pantai Lahad Datu begitu senang dimasuki anasir luar?, soal Asri
“Kita ada kemahiran dan kepakaran. Kita kena guna perisikan untuk membuat rumusan lebih awal. Tapi ini tidak berlaku.,” kata Asri yang berkhidmat 22 tahun dengan jawatan terakhir Pegawai Waran 1 di Kor Gerak Khas, Rejimen Khas Komando.