Konflik bersenjata di Pantai Timur Sabah yang masuk minggu keempat mengundang kritikan keras daripada jeneral bersara Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab berkata kelewatan kerajaan BN diterajui Najib Razak dan Kementerian Pertahanan membuat keputusan mengenai strategi terbaik menghadapi pencerobohan di Lahad Datu mengakibatkan enam anggota keselamatan terkorban. Katanya, sekiranya tindakan sesuai telah diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara sejak minggu pertama pencerobohan tentunya situasi akan lebih mudah ditangani.
“Mengapa (operasi masih) diberi (diketuai) kepada pihak polis sedangkan musuh datang dari pihak luar? Ini tugas tentera.
“Keputusan untuk menentukan strategi (menyerang musuh) juga mengambil masa yang lama. Lebih buruk perisikan juga kelihatan gagal mengenalpasti dengan tepat identiti dan keupayaan (persenjataan) musuh.
“Kerajaan sepatutnya telah memutuskan sama ada untuk menggunakan taktik peperangan konvensional atau kaedah mengawal insurgensi (pemberotakan). Atau strategi bercampur antara kedua-duanya,” kata Hadi yang juga salah seorang anggota sekretariat Majlis Rundingan Keselamatan KEADILAN dalam sidang media pada 3 Mac lalu.
Hadi dalam sidang itu turut membidas Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) ATM kerana lalai melaksanakan tugas sehingga gagal memberi amaran awal kemungkinan pencerobohan pasukan tentera pengawal Sultan Sulu.
“Kita persoalkan unit perisikan tentera. Apakah mereka ambil mudah semua yang berlaku. Mengapa pencerobohan terjadi tanpa dikesan pada peringkat awal?
“Inilah akibat apabila BN memperguna unit perisikan untuk mengekori pemimpin Pakatan. Akhirnya tugas penting mempertahankan negara terabai. Saya cabar mereka mengambil tanggungjawab dan segera meletak jawatan,” tegasnya.
Selain itu, Hadi kecewa terhadap kepimpinan Najib yang hilang punca tetapi cuba melepaskan diri dengan menunding jari ke arah Pakatan Rakyat.
“Perdana Menteri sepatutnya mencari jalan penyelesaian tetapi apa yang mengecewakan kita, beliau cuba mengalih pandangan umum dari krisis ini dengan menyalahkan Pakatan, seolah-olah krisis ini disebabkan oleh Pakatan dan bukan kelemahan pentadbirannya,” katanya.