Bapa Saiful Bukhari, Azlan Md Lazim menegaskan, beliau tidak perlu bersumpah untuk memguatkan kenyataannya bahawa fitnah liwat kedua adalah konspirasi politik yang dirancang Khairil Annas Jusoh, pegawai khas kepada Najib Razak.
“Dalam Malaysia ini, kita dah tengok banyak orang bersumpah. Saya tegaskan dalam kenyataan, saya tidak takut. Kalau saya takut, saya tidak akan buat apa-apa (tindakan),” kata Azlan pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN 11 Mac lalu.
Pada 22 Ogos 2008, Najib Razak bersumpah di Masjid Guar Perahu bahawa beliau kononnya tidak terlibat atau mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.
Seminggu sebelum itu, pada 15 Ogos 2008. Saiful Bukhari Azlan turut melakukan sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan.
Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ranlang Porigi kemudiannya tampil di media menafikan menjadi saksi upacara tersebut.
Ramlang berkata, beliau diarahkan Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) supaya tampil menjadi saksi yang mengaitkan tuduhan liwat oleh Ketua Umum KEADILAN.
Ramlang kemudiannya dipecat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 20 Januari 2009.
Kedua tindakan itu dilihat sebagai taktik mengalih tumpuan rakyat dari isu bayaran komisen pembelian kapal selam Scorpene berjumlah RM500 juta dan kempen pilihan raya kecil kecil Parlimen Permatang Pauh yang ditandingi Anwar pada Ogos 2008.