Kerajaan Malaysia didesak memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan keluarga anggota keselamatan yang gugur akibat kegagalan menangani isu pencerobohan di Lahad Datu, tegas bekas Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid.
“Saya menjemput rakyat, tak kira apa bangsa, apa agama, apa fahaman, mana parti yang disokong untuk kita sama-sama bangkit dan menggesa kerajaan mengaku akauntabiliti keatas kegagalan dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media i ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Tegas Ghafir, kerajaan tidak konsisten menangani isu pencerobohan di Lahad Datu dan hanya mengambil tindakan selepas 23 hari dan ada anggota keselamatan negara yang gugur.
“Tindakan kerajaan tidak konsisten. Apabila kita ambil tindakan yang lambat, mereka (penceroboh) telah ‘bekerja’. Dari kumpulan kecil menjadi besar. Kesalahan ini mesti diakui (kerajaan),” tegasnya.
Dalam pada itu, Ghafir turut hairan dengan hujah kerajaan sebelum ini bahawa tentera tidak boleh diibatkan dalam operasi keselamatan kerana Konvensyen Geneva akan digunapakai.
“Bila ini berlaku, (bagaimana kerajaan) ubah pula dengan menggunakan angkatan tentera dengan konvensyen yang sama?, soal Ghafir.
“Mereka yang datang ini untuk mengambil tanah, wilayah kita dan mengancam nyawa rakyat,” kata Ghafir menjelaskan definisi pencerobohan adalah termasuk atas tujuan kepentingan ekonomi.
Dalam pada itu Ghafir mendedahkan mulai tahun 2000, aset dan keupayaan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) cenderung digunakan untuk operasi politik.
“Selama 13 tahun mereka telah hilang kepakaran dan aset untuk melaksanakan tugas utama mereka untuk merisik. Sepatutnya kita boleh menjangka apa yang bakal berlaku dengan risikan yang baik.
“Dalam BSPP ada bahagian yang mengendali risikan luar. Mereka ini sepatutnya mengumpul maklumat dan analisis risikan. Itu kerja utama mereka. Tugas pemikiran politik bukan kerja mereka
“Sumber maklumat yang diproses untuk perisikan. Ini yang akan kita gunakan untuk memberi pilihan untuk tindakan yang diambil. Bukannya musuh dah sampai ke darat baru tindakan nak diambil. Ini sangat deactive (lambat),” tegasnya,