Jawatankuasa Strategik dan Isu Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mendapat maklumat mendakwa separuh atau dua belas orang Ketua Umno Bahagian di Perak tidak akan dicalonkan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Koordinator, Jawatankuasa Strategik dan Isu, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss berkata menurut maklumat yang diterimanya, ada di antara kerusi mereka itu akan diberikan kepada yang bukan pimpinan utama Umno Bahagian atau calon bukan ahli parti.
“Perkara ini dilihat sama sepertimana yang sebelum ini dilakukan oleh Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd. Kadir yang memberikan kerusi-kerusi penting di dalam kerajaan atau pun agensi-agensi kerajaan negeri untuk lantikan politik kepada ‘orang-orang kepercayaannya’ sahaja. Usaha untuk ‘mengantikan’ orang Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Tan Sri Mohamed Ghazali juga turut dilakukan kerana selepas PRU 13 nanti akan diadakan Pemilihan Agung Tahunan Umno di seluruh Negara.
“Bagi Datuk Seri Zambry, inilah peluangnya untuk memastikan kedudukannya supaya ‘pesaing-pesaing politiknya’ akan diketepikan nanti semasa pemilihan tersebut. Datuk Seri Zambry yang satu ketika dahulu sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Lumut dalam masa yang sama pernah juga berlawan merebut kerusi Ketua Umno Bahagian Lumut yang disandang oleh Datuk Mohamad Wajdi Ishak. Disebabkan itu, Datuk Seri Zambry bimbang akan dua belas Ketua Umno Bahagian yang masih menjadi tanda tanya banyak pihak yang dikatakan tidak sealiran dengannya,” kata beliau dalam satu kenyataan.