Pasukan peguam kepada Naib Presiden PKR, Tian Chua akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan dakwaan ke atasnya.
Tian Tian Chua didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Dakwaan itu berikutan kenyataan beliau berhubung isu Lahad Datu pada 1 Mac lalu.
Tian bagaimanapun dibenar ikat jamin sebanyak RM5,000 dan perbicaraan ditetapkan pada 12 April depan.
Peguam N. Surendran berkata, pihaknya akan membuat permohonan di Mahkamah Tinggi kerana menyifatkan dakwaan itu berunsur politik.
“Kami akan ke Mahkamah Tinggi bagi meminta mahkamah membatalkan tuduhan yang jahat dan tidak masuk akal ini kerana kerajaan Umno BN salah gunakan kuasa mahkamah dan politik.
“Tuduhan ini bersifat politik oleh kerajaan yang terdesak,” kata beliau kepada pemberita di luar kamar mahkamah.
Surendran juga berkata, Umno menggunakan kuasa polis dan undang-undang untuk menyerang Pakatan Rakyat.
“Undang-undang pertahankan Umno dan kerajaan letak Umno lebih tinggi dari undang-undang dan tak boleh dikritik,” katanya yang juga Naib Presiden PKR.
Tambah beliau juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri mengumumkan akta tersebut akan dimansuhkan.
“Kita telah beritahu mahkamah bahawa Perdana Menteri umumkan akta hasutan akan dimansuhkan. Ia salah di bawah undang-undang dan tidak sesuai digunakan lagi.
“Maknanya Perdana Menteri telah beritahu sesuatu yang menipu rakyat kerana Tian didakwa atas akta ini,” tegasnya.
Puluhan penyokong turut hadir memberikan sokongan kepada Tian termasuk Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.