S:Mengimbas kembali peristiwa kes Fitnah II pada 2008, bagaimanakah perasaan encik Azlan apabila tahu Saiful terlibat?
J:Sebagai bapa memang saya terkejut. Tiba-tiba anak saya buat laporan polis. Laporan polis pun tidak diketahui oleh saya. Saya hanya mengetahui melalui akhbar arus perdana pada hari minggu. Dari situ saya sebagai bapa, sudah tentu saya merasa terkejut dan saya sebagai bapa perlu membantu dan menyokong beliau, kerana ibunya telah meninggal dunia. Orang yang bertanggungjawab kepada beliau tentulah saya, sebagai seorang bapa.
S:Selepas kes itu tersebar adakah Saiful merujuk kepada encik Azlan apa yang berlaku ke atas dirinya?
J:Tak ada. Saya sendiri pergi mencari beliau di Hospital Besar Kuala Lumpur, di mana beliau sedang membuat pemeriksaan doktor. Selepas itu saya hanya mengikuti perkembangan lanjut (melalui media). Saya tidak boleh berjumpa beliau kerana beliau berada di dalam penyiasatan polis. Sesiapa pun tidak dibenar berjumpa beliau
S:Bila dapat berjumpa? Selepas seminggu, dua minggu?
J:Saya dibenar berjumpa beliau selepas 30 hari penyiasatan kes.
S:Mengapa begitu lama?
J:Penyiasatan polis. Polis siasat dengan teliti dan tidak (mahu) ada gangguan. Malah saudara terdekat tidak dibenar berjumpa. Saya hanya boleh hubungi beliau melalui telefon
S:Adakah encik mensyaki sesuatu yang tidak kena kerana tidak dibenar berjumpa?
J:Sudah tentu. Persoalan pertama, mengapa saya sebagai bapa kandung tidak diberitahu. Tidak dimaklumkan dan (dia) tidak berbincang dengan saya. Itu yang membuat saya terkejut. Bagaimanapun peristiwa telah berlaku, saya kena bantu beliau. Itu tanggungjawab saya sebagai bapa.
S:Selepas bertemu Saiful adakah encik Azlan bertanya secara khusus mengenai kes itu?
J:Saya tidak berbincang cara khusus oleh kerana laporan polis telah dibuat. Saya tidak mahu mengusutkan keadaan kerana beliau menghadapi satu musibah besar. Saya tak mahu mengganggu fikiran bertanya lebih lanjut apa yang sebenarnya berlaku.
S:Dalam sidang media sebelum ini, encik Azlan mendakwa apa yang diperkatakan dalam kes Saiful diluluskan terlebih dahulu oleh Pegawai Khas Najib, Khairil Annas. Boleh terangkan.
J:Setiap kali saya membuat kenyataan akhbar, ianya didraf oleh peguam saya. Sebelum kenyataan itu dibaca, pengesahan perlu dibuat terlebih dahulu. Peguam saya akan meminta clearence (pengesahan) dari Khairil Annas. (Kenyataan itu) bukan idea atau fikiran saya
S:Apa yang mendorong encik Azlan membongkar konspirasi ini?
J:Sebagai bapa saya tengok ada sesuatu yang tak kena. Saya buat homework sendiri bersama rakan-rakan dan mengumpul maklumat. Saya lihat dalam kes anak saya, ibarat ada orang ‘baling batu sembunyi tangan’. Saya rasa tanggungjawab saya dedah semua ini. Saya tak mau benda ini (fitnah) terjadi kepada orang lain.
S:Maksudnya selepas empat tahun, baru ada keberanian?
J:(Pendedahan) ini bukan satu keputusan yang mudah. Ia melibatkan banyak pihak. Tentu saya menghadapi cabaran dengan saudara mara saya. Sudah tentu anak-anak akan terguris. Rakan- rakan saya dan tentunya terdapat rakyat yang tidak bersetuju dengan tindakan saya.
S:Tetapi demi kebenaran, ia perlu dilakukan?
J:Ya.
S:Ada tuduhan perkara yang dilakukan ini dibayar oleh KEADILAN
J:Saya sudah jangka benda itu (tuduhan) akan berlaku. Macam-macam tuduhan. Sebelum saya buat keputusan saya sudah agak. Saya jelaskan di sini, saya lakukan (pendedahan) bukan kerana duit.
S:Boleh jelaskan mengenai gambar encik Azlan bersama Datuk Seri yang disiar di beberapa blog?
J:Gambar itu diambil sebelum pilihan raya ke 12, 2008. Ia diambil di rumah Datuk Seri. Anak saya Saiful memberitahu saya Datuk Seri berhajat nak jumpa. Sebagai bapa, saya berbesar hati oleh kerana anak saya pun bekerja dengan Datuk Seri. (Kami) bersembang pada waktu malam. Selepas perjumpaan itu kita ramai-ramai berkonvoi ke Keramat untuk majlis ceramah
S:Saiful kata encik diperalat oleh parti KEADILAN
J:Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan. Tak mahu balas komen anak saya. Saya hormati pandangan dia.
S:Adakah keputusan untuk melakukan semua tindakan ini dipengaruhi oleh sesiapa?
J:Tidak dipengaruhi sesiapa. Umur saya 60 tahun dan keputusan yang saya buat tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak
S:Saiful mengenali ramai orang politik. Pandangan encik sebagai bapa?
J:Saya seorang bapa yang terbuka, saya tahu anak saya aktif dalam persatuan pelajar. Beliau selalu beritahu saya dan saya bangga beliau dapat kenal dengan banyak menteri yang berkaitan dengan bidang beliau sebagai pemimpin pelajar.
S:Bagaimanakah hubungan kekeluargaan bersama Saiful sehingga hari ini?
J:Memang rapat, tidak berselisih faham. Sampai nak buat sidang media pun saya telefon Saiful sehari sebelumnya. Tetapi saya tak terangkan hasrat saya dan itu membuat dia rasa terkejut. Saya dalam sidang akhbar (sebelumnya) telah mohon maaf pada beliau. Dia tetap anak saya dan saya menyayangi beliau.
S:Mengapakah encik Azlan tidak membuat akuan bersumpah dalam hal ini sebagaimana Saiful melakukannya dalam tuduhan beliau ke atas Anwar
J:Kita dalam negara demokrasi semua orang (yang mempersoalkan tindakan) berhak memberi pandangan dan pendapat. Jika dilihat dunia media baru, dalam blog macam-macam cerita tentang saya. Kita tahu apa yang kita cakap. Tak perlu buat tindakan lanjut jika kita cakap benar. Kes lain kes berasingan. Kalau hari-hari nak bersumpah susahlah.
Kes sumpah laknat itu kes berbeza. Kita tak mau libatkan bersumpah itu dan ini. Kalau orang ramai nak percaya mereka akan percaya. Itu pandangan saya sebagai bapa yang tahu keadaan sebenar. Tak perlu jalan lain untuk yakinkan orang ramai. Pasal apa saya nak bersumpah. Saya kata benar maka ia benar. Bukan saya dipaksa.