Kira-kira 5,000 hadir ke konsert “Malam Seni Untuk Perubahan” di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi.
Ada yang sanggup datang sejauh Temerloh, Ipoh, dan Seremban semata-mata untuk bersama dalam sejarah dan memberikan sokongan kepada para artis dan seniman yang menjadi penyokong kuat Pakatan Rakyat membuat persembahan.
Kebimbangan penganjur pada mulanya apabila hujan turun lebat petang sebelum konsert bermula, namun terawat apabila ribuan berpusu-pusu memenuhi perkarangan kelab sebaik selepas waktu Isyak.
Diluar kelab, suasana seperti karnival demokrasi. Puluhan warung makanan, produk IKS, busana pro-perubahan dengan para peniaga masing-masing bersahut-sahutan mempromosi dagangan masing-masing menghangatkan lagi suasana.
Manakala di dalam kelab, suasana menjadi lebih hangat sebaik pengacara program, Amir Roslan mengumumkan konsert yang akan bermula.
Acara bermula dengan persembahan gitar akustik dan nyanyian dari buskers Amin Iskandar atau lebih dikenali dengan nama Black bersama aktivis mahasiswa popular, Adam Adli.
Tiga lagu didendangkan dari album Hentikan Perang Sekarang iaitu ‘Sampai Bila’, ‘ISA’ dan ‘Dt Burhanuddin Al Helmy’.
Yasin Brothers yang sebelum ini menerima ugutan akibat sokongan terbuka kepada KEADILAN turut menyampaikan dua buah lagu, ‘Satu Perjuangan’ dan ‘Reformasi’.
Tumpuan malam tadi sudah tentu kepada ikon penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus melalui sebuah slot khas soal jawab, antaranya dengan artis yang membuat persembahan.
Pengunjung yang hadir, meskipun hanya beralas tikar di atas padang yang basah, tidak berganjak untuk mendengar jawapan Azhar dari soalan kontemporari dan isu-isu semasa.
Kepada satu soalan blogger Hishamuddin Rais berhubung sama ada demonstrasi itu salah disisi Islam, Azhar berkata, ia dianggap harus selagi tidak memberi mudarat dan bertujuan mengembalikan hak golongan tertindas.
Turut menyampaikan persembahan malam tadi ialah penyanyi Ito Blues Gang dan penyair Pyan Habib.
Program ‘Malam Seni Untuk Perubahan’ diakhiri pelancaran ‘Sukarelawan Rakyat Untuk Rakyat’ oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.
Adunan persembahan seni sebagai riadah berinformasi membuktikan Pas sebagai penganjur dan Pakatan Rakyat tidak menolak hiburan, dalam tidak meminggirkan santun dan adab kebudayaan orang Melayu.
(Visited 146 times, 1 visits today)