Badan Perhubungan PAS Negeri Perak kesal dengan penganjuran Program 1 Million Women Purple Walk 2013 Peringkat Negeri Perak tidak mengendahkan dan menghormati tragedi di Lahat Datu, Sabah yang telah meragut nyawa anggota keselamatan negara baru-baru ini.
Ketua Penerangan, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Mohd Nuri Al Amin berkata keputusan Kerajaan Negeri yang tetap untuk meneruskan pengisian hiburan di dalam program tersebut dengan kehadiran artis Nur Farhan Azizan atau lebih dikenali sebagai Farhan AF4 di Padang Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di Ipoh 17 Mac lalu sangat mengecewakan.
“Kami merasa kesal Dengan ketidakprihatinan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir dimana beliau adalah tetamu utama program tersebut. Tidakkah beliau merasa sensitif di atas apa yang berlaku di Lahat Datu? Adakah Tan Sri Dr Haji Harussani Haji Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak tidak menegur Datuk Seri Zambry? Sudahkah Kaptem (Bersara) Dato Haji Mohd Najmuddin Elias, Penasihat Agama kepada Menteri Besar Negeri Perak menasihatkan Datuk Seri Zambry? Kenapakah Datuk Seri Zambry tidak mengambil pengajaran daripada Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Tan Sri Mohamed Ghazali, bekas Menteri Besar Perak semasa kejadian tsunami pada tahun 2004 dahulu.
“Alangkah eloknya jika pengisian berbentuk hiburan di dalam program tersebut boleh digantikan dengan ceramah oleh Muhammad Kazim Elias seorang tokoh Agama walaupun dia lebih cenderung pada Barisan Nasional (BN). Program besar tersebut yang dikendalikan di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak sudah tentu di bawah pengetahuan Datuk Seri Zambry. Ianya juga dikendalikan oleh Kementerian Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dimana Menterinya adalah Dato’ Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak yang juga Perdana Menteri.
“Kami pelik pengisian hiburan program yang dianjurkan seumpama ini masih boleh terus diadakan tanpa sikap perihatin dan timbang rasa kepada ahli keluarga wira negara yang telah terkorban baru-baru ini di Lahat Datu,” katanya.