Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Bumburing mempersoalkan siapakah personaliti atau ‘pegawai tinggi kerajaan Malaysia’ yang ingin ditermui penceroboh Sulu, Agbimuddin Kiram.
Merujuk laporan globalnation.inquirer.net bertajuk ‘Kumpulan Sulu ditangkap di Sabah’ 15 Februari lalu, portal Filipina memetik kenyataan Agbimuddin bahawa dirinya mempunyai ‘laluan terbuka’ dengan ‘pegawai tinggi kerajaan Malaysia.
“Kumpulan bersenjata ini mengatakan bahawa ingin jumpa seorang ‘personaliti’. Tapi sehingga hari ini siapa personaliti yang ingin ditemui tak didedahkan.
“Siapa personaliti itu? Datuk Musa Aman. Hishamuddin Hussein atau Najib? Siapa personaliti itu. Kenapa (penceroboh) nak cakap dengan personaliti itu? Ini menjadi tanda tanya kepada rakyat Sabah. Ini meninggal kekeliruan besar,” katanya kepada Keadilandaily.
Laporan globalnation.inquirer.net menyatakan Agbimuddin dan rombongannya yang terdiri dari orang awam dan pasukan bersenjata Tentera Sulu dikepung pasukan keselamatan Malaysia
“Mereka bercakap dengan kami dan merujuk saya sebagai ‘Baginda’ dan Duli Yang Maha Mulia’ (Your Excellency & Your Royal Highnesss)),’ kata Agbimuddin Kiram dipetik dari globalnation.inquirer.net.
Katanya, pada kedudukan tersebut pasukannya ‘bertahan’ dan ‘terbuka untuk rundingan’.
Pada 14 Februari, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar berkata polis mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan ‘Raja Sulu’ dari Selatan Filipina.
Carian mendapati, hari yang sama pada 14 Februari 2013, pimpinan tertinggi Umno-BN yang berada di Sabah ialah Perdana Menteri, Najib Razak bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dalam program BN di Tuaran, Papar, Beaufort dan Kota Kinabalu.
Kenyataan KPN Ismail Omar dan lawatan Najib ke Sabah bertarikh 14 Februari itu dilaporkan agensi berita rasmi kerajaan, iaitu Bernama.
Ia diperkukuh dengan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pihaknya sedang berusaha untuk mereka (kumpulan penceroboh) berjumpa dengan ‘personaliti’ berkenaan.
Justeru, kata Wilfred, berdasarkan maklumat tersebut, rakyat akan membuat spekulasi kerana hanya selepas tiga minggu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penceroboh bersenjata.
Ketiadaan tindakan agresif militan Sulu beberapa minggu selepas pencerobohan menguatkan andaian penceroboh Sulu bertemu ‘personaliti’ tersebut sebelum ini.
“Kalau tidak, buat apa (penceroboh) datang sekali lagi? Mungkin personaliti itu mengarahkan tidak buat apa-apa untuk sementara waktu?
“Saya membuat andaian dari maksud seperti ‘personaliti’ adalah pegawai Malaysia berprofil tinggi. Ertinya, bukannya orang biasa, tetapi pimpinan.
“Kerajaan harus terangkan siapa personaliti. Adakah sudah berunding? Siapa yang pernah ke sana? Sebab apa sampai hari ini tidak ada keterangan,” kata Wilfred.