Demi PM Najib Razak bendera PKR ditanggalkan di jalan sekitar bandar Kuantan sempena menyambut program janji DiTepati. Bagaimanapun bendera BN masih dibenar berkibar di samping bendera Malaysia.
Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mendakwa terkilan dengan sikap pihak berkuasa tempatan Majlis Perbandaran Kuantan yang menanggalkan bendera PKR sesuka hati untuk menyambut ketibaan PM.
“Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kuantan YH Dato Hj Zulkifli bin Hj Yaacob didesak oleh BN dan PR untuk mengotakan janjinya membenarkan bendera parti dipasang memandangkan pilihan raya semakin hampir, selama mana bendera itu tidak menghalang pandangan pengguna jalan raya.
“Bagaimanapun beliau bersikap bias dan menyebelahi BN dalam hal ini.
“Tindakan ini bertentangan dengan kenyataan beliau sebelum ini, asalkan bendera tidak menghalang penglihatan orang awam maka ia boleh kekal di tempatnya,” kata Fuziah dalam satu kenyataan.
Beliau memberi notis 24 jam agar bendera BN turut sama diturunkan sebagaimana bendera PKR.
Katanya, hanya Jalur Gemilang yang sepatutnya dikekalkan menyambut PM Malaysia.