Sempena sambutan Hari Wanita ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh memberi kuntuman bunga kepada rakyat di sekitar Kuantan. Program berlangsung seawal jam 7 pagi bermula di Taman Gelora dan Pasar Tani Mega di Perkarangan Stadium Darul Makmur dan berakhir pada jam 10 pagi.
Agihan bunga diberi kepada semua golongan wanita tanpa mengira usia sebagai tanda menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan sosial dan sahsiah di negara ini khususnya di peringkat Parlimen Kuantan.
Rata-rata penerima menyambut baik langkah yang dilakukan oleh Yb Fuziah Salleh dan memberi respon yang amat positif kerana tidak menyangka akan dihargai sedemikian. Program ini juga dapat merapatkan hubungan antara rakyat setempat bersama wakil rakyat pilihan mereka sendiri.
“Bersempena sambutan Hari Wanita tahun ini, saya harap golongan wanita dapat berfikir dan merancang dengan jelas demi masa depan anak dan generasi akan datang. Golongan wanita juga diseru memainkan peranan lebih aktif memperjuangkan nasib mereka yang semakin terdedah kepada risiko dan ancaman jenayah,” katanya.
Beliau juga berharap wanita muda yang baru memulakan kehidupan di alam pekerjaan mahupun rumahtangga tidak dibebankan dengan hutang yang pelbagai dan kos sara hidup yang tinggi.
Di samping itu beliau juga mengharapkan taraf kehidupan golongan wanita meningkat dan semakin dihargai setaraf sumbangan mereka yang amat penting dalam membangunkan masyarakat madani dan sebuah negara yang harmoni.