Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengalu-alukan dan mengucapkan selamat datang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR ke Negeri Perak terutamanya menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata kehadiran Datuk Seri Anwar ke politik Perak sebagai merupakan suatu nukleus penting bagi kebangkitan rakyat negeri itu setelah ‘rampasan kuasa jahat’ oleh Umno / Barisan Nasional (BN) pada awal Februari 2009
“Kesudian Datuk Seri Anwar untuk bertanding kerusi di Perak amat tepat dan dinanti-nantikan. Sudah tentu banyak persoalan timbul kini, di manakah kerusi yang bakal ditandingi oleh Datuk Seri Anwar nanti?
“Kami tangkas mencadangkan agar Datuk Seri Anwar supaya bertanding di kerusi Parlimen Lumut dan dalam masa yang sama ianya melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor, Pasir Panjang dan Setiawan.
“Umum mengetahui bahawa kerusi DUN Pangkor kini disandang oleh bekas ‘orang kuat’ Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang pernah bersama Datuk Seri Anwar dahulu iaitu Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir.
“Kami bersama AMK dan DAPSY akan bersama-sama membantu Datuk Seri Anwar kelak bagi mengerakkan jentera Pemuda Pakatan Rakyat (PR) untuk memastikan sokongan anak muda khasnya akan memberikan kemenangan kepada PR.
“Kami juga yakin Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) yang berpengkalan di Lumut akan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar kelak,” katanya dalam satu kenyataan.