Pesuruhjaya Pas Sabah, Ustaz Aminuddin Aling berkata, sebuah stesen untuk negeri Sabah akan dibina sebaik Pakatan Rakyat memerintah dengan tujuan memupuk integrasi dan mengeratkan hubungan semenanjung Malaysia dengan negeri ini.
“Selama ini tidak ada. Jadi Pakatan Rakyat fikirkan untuk wujudkan sebuah televisyen khas untuk negeri Sabah,” katanya pada Himpunan Harapan Rakyat di Star City Conference Centre, 24 Mac lalu.
Kementerian Penerangan, Kebudayaan & Komunikasi hanya melancarkan jendela Sabah dan Sarawak melalui RTM pada 2011 dengan 50 peratus siaran nasional dan 50 peratus siaran negeri.
“Maka, apa yang berlaku di Sabah akan diketahui oleh orang di Semenanjung,” kata Aminuddin.
Dalam pada itu, kata Aminuddin, Pakatan Rakyat Sabah juga akan menghidupkan semula Lembaga Padi Sabah (LPS) yang dibubarkan pada 1982.
Mengikut statistik pada 2005, lebih kurang 30 peratus pengusaha padi di negeri ini menghentikankan aktiviti penanaman disebabkan kekurangan bekalan air.
“Bayangkan kalau Thailand dan Vietnam tidak lagi membekal beras kepada negara kita. Kalau berlaku banjir atau bencana, sudah tentu makanan akan kehabisan.
“Kita tak minta banjir atau bencana alam. Kita tak mahu rakyat Malaysia kebuluran.
“Pimpinan Pakatan Rakyat Sabah telah memikirkan untuk mengembalikan LPS untuk mengurus dan menyelenggara tanaman padi secara besar-besaran di negeri Sabah,” katanya.