IPOH: Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak hari ini memberi tempoh seminggu kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melengkapkan penyiasatan berhubung isu projek Perhotelan di Rumah Perak yang terletak di Batu Feringgi, Pulau Pinang.
Koordinatornya, Salman Saleh berkata, PAS Perak akan merujuk kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) untuk usaha terakhir setelah gagal mendapat sebarang keputusan rasmi daripada pihak SPRM.
“Kami melihat Badan Pengaduan Awam adalah jalan terakhir usaha yang boleh kami lakukan bagi merungkai isu yang sudah berlarutan lebih 3 bulan,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, hari ini, dekat sini.
Hadir sama ialah jawatankuasa Strategik Dan Isu Perak Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan Safarizal Saleh.
Mengulas lanjut, Setiausaha Pemuda PAS Perak itu menjelaskan, setelah lebih 3 bulan membuat laporan di SPRM Perak, kes tersebut masih belum selesai biarpun pelbagai usaha dan desakan telah dilakukan.
“Pada 3 Januari lalu, PAS Perak telah menghantar momerandum kepada Pesuruhjaya SPRM di Putrajaya bagi mendesak siasatan dijalankan namun tiada sebarang respon sebelum menghantar surat memohon maklum balas beberapa minggu selepas itu.
“Hasil daripada desakan itu, kami telah menerima maklum balas rasmi yang mengesahkan kes tersebut dalam siasatan SPRM dan PAS sekali lagi menghantar surat memohon kes ini diselesaikan segera,” jelasnya lagi.
Kata Salman, PAS hairan kenapa isu ini sukar untuk diselesaikan biarpun PAS telah memberi maklumat dan bukti-bukti terperinci kepada pihak SPRM.
“Kami memberi tempoh seminggu kepada SPRM untuk memberi keputusan rasmi samada ada kes atau tiada kes tentang laporan yang dibuat ini.
“Jika SPRM masih berdiam diri, PAS akan melaporkan ke Biro Pengaduan Awam untuk melaporkan tentang kegagalan SPRM untuk menyelesaikan laporan yang dibuat,” jelasnya lagi.