Badan Perhubungan PAS Negeri Perak meminta semua Unit Peti Undi (UPU) PAS agar melaporkan penyalahgunaan premis awam seperti Dewan Orang Ramai atau bilik gerakan yang menempatkan di antara 7,531 Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang telah dibuka oleh Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Muhammad Nuri Al Amin berkata arahan itu dibuat kerana ianya bertentangan dengan kod Tataetika Pilihan Raya yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
“UPU juga diminta memantau Pejabat Penghulu dan Pejabat Ketua Kampung yang menjadikan premis mereka untuk kegunaan BN menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 dalam masa terdekat.
“Semua UPU perlu mendapatkan bukti bergambar di semua Dewan Orang Ramai, Balai Raya, Pejabat Penghulu atau Pejabat Ketua Kampung yang secara jelas menjadikan premis mereka sebagai Bilik Gerakan BN dengan menaikkan papan tanda dan logo-logo BN.
“Semua gambar-gambar tersebut perlu diberikan kepada Bilik Gerakan PAS bagi tujuan membuktikan penyalahgunaan premis awam oleh BN. Walaupun jelas SPR telah mengeluarkan kod Tataetikanya, namun BN dilihat sewenang-wenangnya melanggar agar semua premis awam dibebaskan daripada kegunaan mana-mana parti politik pada PRU nanti,” katanya.
Muhammad Nuri berkata PAS akan terus membantah penyalahgunaan tersebut dan mendesak agar SPR mengambil tindakan segera melarang dan melaporkan kepada pihak Polis kerana BN telah melakukan satu kesalahan yang jelas bertentangan dengan semangat Perlembagaan Negara.
Katanya, ia juga dilihat kedegilan BN dan kegagalan SPR bagi memastikan sistem pilihan raya berjalan secara adil dan bebas sepertimana yang diperjuangan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) selama ini. Kegagalan SPR untuk bertindak terhadap BN ini juga memperlihatkan ketidakmampuan mereka bagi menjalankan tugas dengan seadilnya dalam menghadapi PRU 13 ini nanti.