Walaupun Malaysia mewarisi sistem perlembagaan British atau Westminster, tetapi kerajaan Umno BN dilihat gagal menggubal perlembagaan yang mensejahterakan rakyat khususnya berkaitan Pilihan Raya Umum (PRU).
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, berbanding Umno BN, kerajaan campuran Demokrat dan Konservatif Liberal di British sudah meminda dan meluluskan peruntukan Penggal Tetap (Fixed Term Bill) pada 2010 yang menetapkan tarikh pilihan raya akan datang.
“Tindakan kerajaan campuran itu memberikan kelebihan kepada rakyat dan ahli perniagaan untuk mengatur agenda masing-masing kerana tidak terganggu dengan tarikh PRU yang sudah ditetapkan.
“Sebaliknya, Umno Bn pula mengambil kesempatan daripada mandat Perdana Menteri dengan membiarkan rakyat berteka-teki tarikh PRU.
“Keadaan ini menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seorang yang tidak bertanggungjawab dengan kuasa penuhnya menetapkan tarikh PRU,” ujar Naib Presiden KEADILAN itu kepada Suara Keadilan.
Katanya lagi, kegagalan Najib membubarkan Parlimen kerana bimbang dengan laporan negatif yang diterima setiap hari menunjukkan Umno BN gagal meraih sokongan rakyat dalam menghadapi PRU.
“Jelas, Umno BN lebih mengutamakan kepentingan peribadi pemimpinnya dan parti untuk terus berkuasa berbanding kepentingan rakyat dan negara.
“Umno BN juga lupa kegagalan menetapkan tarikh PRU turut memberi kesan kepada sektor pelaburan dan perniagaan.
“Hasilnya, jumlah pelaburan tidak memberangsangkan dan pasaran saham tidak stabil, ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah menunjukkan Umno BN gagal mengikut sistem demokrasi dengan baik,” katanya.