Badan Perhubungan PAS Negeri Perak sudah menjangkakan kedudukan kerusi MIC bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan berkurangan daripada empat kepada dua sahaja pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 kali ini.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Ahmad Nuri Al-Amin berkata keadaan tersebut menunjukkan Datuk Seri G. Palanivel sebagai bukan setakat Pengerusi MIC Perak, malah Presiden MIC Pusat, masih tidak mampu memberikan jaminan untuk MIC dapat mempertahankan kerusi-kerusi yang mereka tandingi dahulu.
“Dua kerusi yang difahamkan akan terlepas adakah di DUN Behrang dan juga DUN Pasir Panjang yang dikatakan akan diserahkan kepada Umno pada PRU 13 kali ini. Malah Datuk Seri Palanivel juga dikatakan tidak akan bertanding di Parlimen Perak atas kerusi tradisi yang biasa ditandingi oleh Presiden MIC. Adakah Datuk Seri Palanivel tidak berani untuk bertanding di Perak?
“Isu ini nyata memberi indikasi kepada kehangatan kemelut pembahagian kerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak yang meliputi pergolakan kedudukan setiap kerusi calon BN. Kemelut ini sudah sukar untuk disembunyikan kerana menjadi pembincangan hangat. Bahkan semua informasi yang sampai kepada kami sebenarnya datang daripada pihak BN sendiri yang memaklumkan kemelut-kemelut yang bergolak di dalam BN Perak.
“Bagi kami juga, Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir perlu mengukur diri dan mengakui kelemahannya atas apa yang melanda di dalam Pasukan BN Perak kini dan bukannya melepaskan diri dengan jawapan-jawapan yang sinikal atas persoalan yang dibangkitkan,” katanya.