Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak kecewa tarikh yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi penamaan calon pada 20 April ini tidak mengambil kira tarikh istiadat sempena hari sambutan ulang tahun Keputeraan Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah kali ke lapan puluh lima tahun ini pada 19 April ini.
Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategik, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss mempersoalkan apakah SPR terlepas pandang tarikh hari Keputeraan Paduka Seri Sultan Perak atau tidak merujuk terlebih dahulu dengan Pejabat Paduka Seri Sultan Perak bagi tujuan penetapan tarikh-tarikh berkaitan Pilihan Raya Umum.
“Kami menzahirkan kekesalan bagi pihak rakyat Negeri Perak di atas ketidak prihatinan SPR di dalam menentukan tarikh-tarikh berkaitan PRU 13 kali ini. Kami mendesak SPR mempersembahkan permohonan maaf di atas kelekaan bagi tarikh pernamaan calon yang telah ditetapkan pada 20 April sehari selepas Hari Keputeraan Paduka Seri Sultan Perak pada tahun ini.
“Pihak kami kembalikan semula kepada SPR bagi menimbang tarikh penamaan calon yang telah ditetapkan pada hari ini dengan memperjelaskan kepada rakyat Perak khasnya. Pihak kami tiada halangan jika SPR ingin meneruskan tarikh penamaan calon tersebut, tetapi kami merasa ‘kecil hati’ dengan apa yang berlaku pada PRU 13 kali ini!” katanya.