Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyifatkan tindakan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang mempertikaikan kesetiaan bekas tentera yang bertanding dalam PRU 13 menentang BN sebagai satu penghinaan.
Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon berkata, kesetiaan bekas tentera dan kakitangan awam kepada Malaysia sebagai ibu pertiwi, tidak boleh disalahertikan sebagai kesetiaan terhadap BN.
“AMK mengecam tindakan beliau yang menyamakan masa depan negara dengan kepentingan parti politik (Umno BN).
“Najib cuba kaburi mata rakyat dan mengelak realiti, bahawa pertukaran kerajaan adalah lumrah dalam sistem demokrasi. Tindakan beliau itu bertentangan dengan prinsip demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, tindakan itu juga tidak lebih sekadar demi kepentingan politik Umno BN.
Sebaliknya, katanya lagi, tindakan bekas tentera menyertai Pakatan Rakyat dan menyertai pilihan raya kerana tidak ingin masa depan negara musnah di tangan kerajaan korup.
“Pada masa sama, pemimpin BN patut menginsafi kesilapan lalu. Banyak kes rasuah berlaku ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan, termasuk kes komisen kapal selam dan kecurian enjin jet pejuang.
Khai Loon turut menyeru semua polis dan tentera, pekerja pentadbiran dan kakitangan awam agar mengundi dengan bijak.
“Demi masa depan negara dan generasi akan datang, kita wajib mengundi kerajaan yang cekap, amanah dan mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya lagi.