Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak ada ikatan antara pemimpin Umno-BN dengan rakyat kerana mereka tidak pernah mengalami kesukaran hidup seperti mana rakyat biasa.
“Tidak ada talian diantara yang pemimpin BN yang kaya dengan rakyat yang miskin. Apakah mereka tidak tahu pendapatan rakyat tidak meningkat sejak tiga bulan yang lalu?
“Harga barangan keperluan mahal. Barang dikawal oleh tauke, dan tauke kroni BN,” kata Anwar dihadapan lebih 500 hadirin dalam ceramah di Kampung Labuan, Kota Belud, malam tadi.
“Mereka sebut tentang wasatiyah. Tapi wasatiyah apa kalau gaji anak Menteri RM30,000 sebulan, anak orang biasa gaji RM800?
“Anak orang kampung, lepas jadi graduan universiti, lapan bulan masih tak dapat kerja. Anak menteri dengan mudah dapat kontrak jaga lembu,” katanya disambut ketawa hadirin.
Kata Anwar, rakyat Sabah berani menukar kerajaan negeri. Justeru, sekarang merekaberpeluang berpeluang untuk menukar kerajaan di peringkat pusat.
“Siapa kata hanya Umno pandai tadbir? Saya Menteri Kewangan lapan tahun,bayar hutang. Najib empat tahun jadi Menteri Kewangan, hutang negara meningkat RM 400 bilion,” kata Anwar.
Dalam pada itu, tegas Anwar, rancangan pembangunan fizikal dan infrastruktur di Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan pemerhatian Pakatan Rakyat terhadap masalah sebenar rakyat di negeri ini.
Malah rancangan itu ditiru pula oleh Barisan Nasional dalam pelancaran manifestonya 6 April lalu melalui cadangan pembinaan lebuh raya Pan-Borneo sejauh 2,300 kilometer dari Sematan di Sarawak ke Serudong di Sabah.
Sedangkan Pakatan Rakyat terlebih dahulu mencadangkan pembinaan lebuh raya Pan-Borneo dari Kuching ke Kota Kinabalu dan Kudat dalam pelancarannya Manifesto Rakyat di Shah Alam 25 Februari lalu.
Malah, Pakatan Rakyat turut akan memperluaskan dan menaiktaraf rangkaian landasan keretapi di Sabah dan Sarawak yang kini terdiri hanya pada 134 km sahaja selain menyeragamkan harga barang keperluan asas di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu kita (cadang) buat lebuh raya Pan-Borneo. Siapa kata kita tak ada duit? Ini bukan keadilan. Hasil minyak petrol RM 80 bilion setahun, hasil kelapa sawit RM 70 bilion setahun.
“Apa salahnya belanja RM 6 bilion untuk bina lebuh raya. Bila kita nak buat, Najib kata bankrap,” tegas Anwar mengingatkan hadirin tentang penolakan tawaran debat.