Seorang petugas Pakatan Rakyat, Asri Hassan, 40 tahun, menerima lebih 30 jahitan selepas diserang lebih 15 penyokong Umno-BN di Felda Neran 1, Terengganu dalam satu kejadian kira-kira jam 11 malam, Jumaat, 11 April lalu.
Asri menerima lebih 20 jahitan di lutut kaki kanan, 10 jahitan di pergelangan kaki kiri, lebam di bahagian belakang badan, luka di kepala dan dahi selepas ditetak dengan pedang, parang dan kayu.
Mangsa turut mengalami lebam dari bahagan pergelangan tangan kiri hingga ke bahu selain pecah bahagian bibir bawah akibat ditumbuk.
Serangan berikutan teguran Asri terhadap petugas Umno-BN yang mengugut untuk ‘menetaknya’ selepas satu rundingan berikutan pertelingkahan mengenai pemasangan bendera parti KEADILAN dan Barisan Nasional di kawasan kediaman mereka.
Kira-kira jam 9 malam pada hari kejadian, seorang pemuda bernama ‘Haslin’,
berumur kira-kira 30 tahun datang bertemu Asri yang sedang minum di sebuah warung di Felda Neran 1.
‘Haslin’ menuduh para petugas Bilik Gerakan Pakatan Rakyat di Felda Neran 1 membuang bendera Barisan Nasional
.
Haslin meminta Asri mengikutnya menaiki motosikal ke salah satu bilik gerakan Barisan Nasional di kawasan Felda tersebut untuk berunding tentang tuduhan membuang bendera BN di kawasan petempatan mereka.
Ketika tiba di hadapan bilik gerakan BN, Asri bertanya kepada Haslin sama ada dia nampak sesiapa melakukan perkara tersebut, namun dia berkata hanya mendengar cerita dari orang lain.
“Saya minta dia bawa saksi itu, tetapi dia gagal. Saya kata, kalau tak boleh bawa saksi, tak guna (berunding). Saya jelaskan, tidak ada petugas Pakatan Rakyat yang melakukan provokasi. Itu bukan cara kita (Pakatan Rakyat),” kata Asri.
Selesai memberikan penjelasan, Asri kemudiannya meminta Haslin menghantarnya kembali ke warung tempat mereka mula bertemu.
Dalam perjalanan Asri diugut akan ‘ditetak’ sekiranya ada mana-mana petugas Pakatan Rakyat membuang bendera Barisan Nasional.
“Saya beri pandangan kepadanya, tak perlu kata begitu. Namun dia menegaskan – ‘kalau mu tahan pun, aku tetak’. Jadi, saya minta dia hentikan motosikal,” kata Asri
Berlaku pertengkaran mulut antara mereka berdua. Akibat salah faham dari percakapan tersebut, berlaku kekasaran sehingga menyebabkan Haslin terjatuh.
Haslin yang tidak berpuas hati memanggil bapa saudaranya dari Felda Neran 2 bersama kira-kira 15 lelaki lain dengan empat buah kereta menyerang Asri di hadapan Markazs Pakatan Rakyat di Felda Neran 1.
Penyerang menggunakan pedang, parang dan kayu. Beberapa pemuda yang mahu membantu Asri ditampar dan ada yang diugut termasuk dengan meletakkan parang di kepala salah seorang mereka.
“Saya seorang sahaja terpaksa berlawan dengan 15 hingga 16 orang. Saya terpaksa mengelak dan bertahan menggunakan tangan,” kata Asri memaklumkan bapa saudara ‘Haslin’ merupakan samseng yang dikenali di kawasan tersebut.
Asri kemudiannya terpaksa dikejarkan ke hospital Kemaman, namun akibat kecederaan serius, beliau terpaksa dirujuk ke Hospital Kuantan, Asri dibenarkan keluar pada Sabtu 13 April lalu.
Satu laporan polis telah dibuat di Hospital Kemaman pada hari yang sama. Sehingga kini, Asri belum dipanggil untuk memberi keterangan.
(Visited 109 times, 1 visits today)