Ketua Angkatan Muda KEADILAN Sabah, Serman Hassnar berkata, pembangunan infrastruktur pendidikan di negeri ini dijadikan keutamaan sebaik Pakatan Rakyat menang pilihan raya umum ke-13.
“Masih ramai anak Sabah terutama di pedalaman dan luar bandar tidak mendapat pendidikan sempurna. Antara sebab utama ialah kekurangan infrastruktur awam dan kelengkapan pembelajaran,” kata Serman kepada Suara Keadilan.
Laporan Audit 2010 mendedahkan projek makmal komputer sekolah harian di Sabah yang bernilai RM 160.74 juta bertujuan membina bangunan, membekalkan, pemasangan perabot dan peralatan ICT didapati gagal mencapai objektif.
Manakala Pusat Kajian Pendidikan Luar Bandar (PKPLB) pada 2010 mendapati 12 sekolah luar bandar di Sabah tidak dilengkapi bekalan elektrik 24 jam dan tiada asrama pelajar.
Laporan media Sabah pada 2012 menyatakan, lebih 500 sekolah atau 39 peratus daripada 1,283 sekolah rendah dan menegah di negeri ini mengalami kerosakan termasuk bangunan yang tidak selamat diduduki.
“Hal ini berlaku di kawasan kampung seperti Beluran, Batu Sapi dan banyak lagi. Ini ditambah dengan masalah kemudahan asas seperti jalan raya yang tak pernah selesai di bawah pentadbiran Umno-BN,”
“Kalau hujan lebat mungkin ada murid atau guru yang tak dapat ke sekolah untuk mengajar atau belajar. Malah ada guru-guru mengadu terpaksa tinggal di dalam bilik darjah kerana jarak kediaman dengan sekolah terlalu jauh,” katanya.