Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah, Serman Hassnar mencadangkan Pakatan Rakyat negeri itu untuk memaksima peranan Kementerian Belia dan Sukan Sabah melalui penubuhan Akademi Sukan Sabah selepas menang pilihan raya umum ke-13.
Kata Serman, Akademi yang dicadangkan tersebut akan memberi fokus kepada remaja berbakat sukan berumur antara 12 hingga 17 tahun.
“Negeri Sabah melahirkan ratusan atlet yang mengharumkan nama negara. “Mereka terpaksa ke sekolah sukan di semenanjung. Lebih baik bakat sukan mereka dipupuk lebih awal di negeri ini,” katanya kepada Suara Keadilan.
Dalam pada itu kata Serman, campur tangan politik Umno-BN keterlaluan untuk kepentingan diri dalam agensi dan pertubuhan belia menyebabkan potensi sukan anak negeri Sabah terganggu.
“Presiden SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah) ialah orang kuat Ketua Menteri Musa Aman. Begitu juga banyak persatuan lain. Pernah kita dengar apa-apa kejayaan besar dari Sabah? Tidak ada.
“Sayang sekali kalau semangat kesukanan yang tinggi dan bakat anak negeri ini tidak dimanfaat sebaiknya.
“Sebab itu penubuhan Akademi Sukan Sabah kelak perlu diuruskan oleh profesional sukan. Bukan orang politik yang menggunakan jawatan sukan untuk kepentingan peribadi,” kata Serman.
(Visited 158 times, 1 visits today)