DAP akan bertanding dalam Pilihan Raya 2013 di bawah tiket PAS dan PKR selepas ROS yang membekukan jawatankuasa pusat parti itu tidak menarik balik surat arahan pembekuan yang dikirim semalam.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua membangkitkan, parti tidak boleh mengambil risiko menghantar surat watikah calon bertanding di bawah logo Roket yang ditandatangani oleh setiausaha agung parti sedangkan pemimpin DAP tidak diiktiraf oleh RoS.
“Jika CEC kami tidak diiktiraf, bagaimana mahu keluarkan surat kebenaran kepada calon kita?” kata Pua dipetik The Malaysian Insider hari ini.
Pua mengatakan 53 calon parlimen dan 103 calon bagi Dewan Undangan Negeri DAP diseluruh negara yang bertanding dalam Pilihan Raya 2013, dengan Hari Penamaan Calon bermula esok, menggunakan simbol PAS di semenanjung dan PKR di Sabah dan Sarawak.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendesak RoS semalam untuk menarik semula surat mereka bertarikh 17 April yang enggan untuk mengiktiraf CEC parti kerana kesilapan dalam pemilihan parti.
Datuk Abdul Rahman Othman dari RoS walau bagaimanapun dipetik berkata oleh agensi berita nasional Bernama semalam mengatakan DAP masih boleh menggunakan logo Roket dalam pilihan raya umum ke 13 kerana pendaftaran parti tersebut masih belum dibatalkan.
Penasihat DAP Lim Kit Siang mengakui tindakan RoS yang menghalang DAP menggunakan logo mereka untuk PRU13 kali ini mungkin akan memberikan kesan kepadanya yang bertanding di Gelang Patah kerana pengundi mungkin terkeliru jika DAP dipaksa menggunakan logo bulan PAS dan logo mata PKR.
MCA telah berulang kali memberi amaran kepada pengundi Cina agar tidak menyokong Pakatan Rakyat dengan mendakwa PAS akan menguatkuasakan undang-undang hudud di negara ini.
Tindakan RoS itu mungkin menghancurkan peluang DAP untuk menamatkan riwayat MCA dalam PRU13 terutamanya di kubu kuat parti Cina itu di Johor di mana Lim Kit Siang akan berhadapan dengan menteri besar sementara Datuk Abdul Ghani Othman di Gelang Patah.