Lebih 25% penyertaan calon muda membuktikan KEADILAN membawa aspirasi anak muda sebagai pelapis pimpinan negara, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN,Shamsul Iskandar Mohd Akin.
“Kalau kita lihat calon BN, majoriti dibarisi pemimpin masa lalu. Saya tak fikir pengundi muda termasuk orang Melayu mudah mempercayai dan memberi sokongan,” kata Shamsul kepada Keadilandaily.
Beliau yang menentang bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam di parlimen Bukit Katil berkata, BN masih lagi meletakkan calon bermasalah, terpalit dengan rasuah dan mempunyai rekod pentadbiran buruk.
“Seolah-olah tidak ada lagi watak yang berwibawa untuk ditampilkan. Berbanding KEADILAN dan Pakatan Rakyat, dasar kita lebih memartabatkan anak muda Malaysia.
“Isu dan tawaran yang kita bangkitkan tentang pendidikan, meringankan beban ekonomi anak muda. Ini lebih segar dan dekat dengan jiwa anak muda dibandingkan pendekatan BN membawa politik rimba, gangsterisme dan keganasan,” tegas Shamsul.
Sementara itu, Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Yunos berkata, masalah tempatan di kawasan Menteri sebelum yang masih tidak diselesaikan adalah contoh kegagalan BN menguruskan kawasan mereka sendiri.
Nazree memberi contoh masalah fasiliti seperti kerosakan jalan raya dan masalah bekalan air di Kuala Pilah berlarutan meskipun kawasan tersebut diwakilii Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansur pada penggal sebelum.
“Ini menunjukkan ketidakseimbangan pembangunan. Masalah ini dilaporkan terus oleh penduduk tempatan,” kata Nazree yang menentang bekas Timbalan Menteri Penbangunan Luar Bandar & Wilayah, Datuk Hassan Malek di parlimen Kuala Pilah.