KUALA LIPIS: Pakatan Rakyat mempunyai peluang untuk menang kerusi N79 parlimen Lipis andainya penyokong bekas ahli parlimen BN Dr Shahrom Othman membuat undi protes.
Dr Shahrum dalam kenyataan yang disiarkan media mendakwa, beliau sedih dan marah di atas apa yang berlaku apabila watikah yang sudah berada di tangannya dirompak dan disabotaj.
Ketua Umno bahagian Lipis, Abdul Rahman Mohamad kemudian diumumkan sebagai calon BN bagi parlimen Lipis menggantikan Dr Shahrum Othman manakala tempat Abdul Rahman di Dun Padang Tengku digantikan oleh Naib Ketua Umno bahagian yang juga pembantu khas Menteri Besar, Mustapha Long.
Adnan pada mulanya mengumumkan Dr Shahrum Othman sebagai calon bagi kerusi parlimen Lipis tetapi membuat keputusan drastik menggugurkan Shahrum dua hari sebelum hari penamaan calon.
Tindakan Adnan itu menimbulkan kemarahan penyokong Shahrum. Shahrum sendiri kecewa tetapi tidak menyalah Adnan sebaliknya menyalahkan Abdul Rahman Mohamad.
Parlimen Lipis akan ditandingi oleh BN, Abdul Rahman Mohamaf, PAS Mohd Mahyuddin Lebai Ghazali dan seorang calon bebas, Aishaton Abu Bakar.
Parlimen Lipis mempunyai tiga Dun iaitu Ceka, Padang Tengku dan Benta.
Calon PAS Padang Tengku, Roslan Zainal Al Ahmadi berkata, apa yang berlaku terhadap Dr Shahrum adalah suatu kezaliman dan menyakitkan hati semua pihak.
Permainan licik di Kuala Lumpur dan Kuantan memudahkan penyingkiran Shahrum dibuat dengan jayanya.
Ramai percaya ada pihak yang mempunyai kabel besar menemui Presiden Umno untuk menjayakan melobi dan menyingkirkan bekas pensyarah itu.