Calon Parlimen P165 Tanjung Piai, Mazir brahim berkata, antara detik-detik yang tidak dapat dilupakannya ketika berkempen di pekan Serkat, Tanjung Piai apabila beliau bertemu dengan seorang tua yang ‘totok’ Umno’.
“Orang tua itu berkata kepada saya – ‘biar aku susah, janji Umno menang’, kata Mazir mengajuk kata-kata individu tersebut mengundang ketawa hadirin di Forum PRU-13, Apa Orang Johor Mahu di KLSCAH, malam tadi.
Malah Mazir memaklumkan, beiau diprovok secara berdepan oleh penyokong-penyokng Umno-BN.
“Saya beri akhbar Harakah kepada seorang lelaki yang agak berumur. Kemudian saya dipanggil semula olehnya. Di depan saya, dia membakar akhbar Harakah.
“Itu akhbar Harakah, tak tahu apa jadi kalau saya edar akhbar Roket,” kata Mazir, satu-satunya calon DAP berbangsa Melayu di Johor.
Justeru kata Mazir, insiden itu berlaku akibat kerja politik perkauman Barisan Nasional yang telah lama berakar umbi.
“Begitulah teruknya keadaan, sehingga mereka tak kisah salah guna kuasa. Kata mereka – rasuah pun tak mengapa, asalkan yang memimpin itu Melayu. Inilah politik perkauman yang sudah sampai ke tahap tidak rasional,” kata Mazir.
Sedangkan kata Mazir, dikawasan ditandinginya terdiri dari ramai orang Melayu yang miskin tegar, daif dan tidak pernah mendapat pembelaan pemimpin Barisan Nasional.
“Kita berperang dengan mentaliti dan persepsi bahawa DAP itu parti orang Cina dan Pas itu parti ‘suka potong’. Jadi kita cuba bincang secara rasional,” katanya.
Mazir memberitahu, beliau turut berkempen secara langsung termasuk bertemu Ketua-ketua cawangan Umno dan berdebat dengan mereka.
“Saya tahu mereka kekal dengan pendirian mereka. Tetapi apa yang saya hujahkan didengar oleh anak-anak muda yang lain. Malah ada yang terus menjadi sukarelawan kami,” kata Mazir.