Manifesto Parlimen Batu dilancar secara rasmi oleh Tian Chua pada 29 April lalu bertemakan Batu Menerajui Perubahan.
Manifesto 12 perkara itu mengandungi pelan pembangunan mampan bagi mencapai kualiti kehidupan terbaik di Kuala Lumpur.
Antara kandungan manifesto tersebut ialah meningkatkan mutu pengangkutan bas awam Interakota; memperbaiki sistem saliran di kawasan banjir; menambah pembinaan rumah mampu milik; menyelesaikan masalah kekurangan lot parkir; mengisytihar beberapa kampung Melayu di pinggir kota sebagai Kampung Warisan dan memperbanyak kemudahan rumah ibadat.
“Kita berjanji untuk memperbaiki kualiti kehidupan penduduk Parlimen Batu. Terutama meningkatkan kualiti perkhidmatan bas awam, membanyakkan kekerapan dan membina lebih banyak hentian bas
“Kemudahan tempat letak kereta juga akan ditingkatkan. Memandangkan kita sering menerima aduan penduduk terpaksa mambayar saman RM100 kerana meletak kereta untuk ke pasar membeli barang dapur,” katanya.
Tian juga berjanji akan membawa masalah pengabaian pasar-pasar lama di sekitar Batu oleh Dewan bandaraya Kuala Lumpur. Katanya, rekabentuk kebanyakan pasar itu sudah tidak sesuai dengan peredaran zaman. Pasar-pasar yang wujud sejak 30 – 40 tahun lalu, kata Tian, sesak dan tidak menyediakan kemudahan secukupnya kepada peniaga mahu pun pengunjung.
“Saya juga akan minta sistem perparitan diperbaiki, terutama di kawasan yang dilanda banjir. Kita tidak faham dengan konsep pembinaan saliran yang dilaksana kerajaan. Kuala Lumpur ada smart tunnel tetapi jika hujan tetap ada kawasan yang banjir
“Saya akan memperjuangkan kampung-kampung tradisi Melayu di Kuala Lumpur agar diwartakan sebagai kampung warisan. Kampung-kampung ini tidak perlu dirobohkan.
“Sebaliknya, kerajaan boleh memberi peruntukan mengindahkan kasawan. Kampung warisan berpotensi menjadi kawasan tarikan perlancongan di ibu negara,” katanya.
Beberapa kampung Melayu di Kawasan Batu sebelum ini diasak oleh pembangunan. Baru-baru ini, dalam Pelan KL 2020, kampung Padang Balang, lima kilometer dari pusat bandar dimasykkan ke dalam jajaran laluan projek LRT. Projek tersebut dibantah keras oleh penduduk.