Kekecohan kecil berlaku di bilik mengundi saluran 8 di pusat pembuangan undi Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Koperasi Polis II, Batu, Kuala Lumpur.
Agen yang mewakili KEADILAN (Paca) membantah terdapat selonggokan risalah anti-Pakatan yang sengaja ditinggalkan di lantai bilik mengundi itu.
Salah seorang rakan kepada agen tersebut, Sri Kumaran Palani, 39, berkata Paca itu mempersoalkan ketelusan SPR kerana tidak peka terhadap sebarang objek yang berbentuk kempen di bilik mengundi. Katanya, peraturan SPR menggariskan tiada kempen, sama ada berbentuk verbal atau tulisan dibenarkan di mana-mana ruangan mengundi.
“Risalah itu ditinggal atas lantai di saluran 8. Kita bantah tapi pegawai SPR tak buang risalah itu. Dia cuma kata ‘kalau nak bawa keluar, bawalah risalah itu’.
“Kita bantah sikap macam ini. Sepatutnya pegawai SPR mesti pastikan bilik mengundi tiada apa-apa risalah yang boleh mempengaruhi pengundi,” katanya kesal.
Tinjauan Suara Keadilan mendapati risalah tersebut berbau hasutan. Antaranya bertajuk ‘Agenda DAP Hapus Melayu’, ‘Nik Aziz Hina Nabi Muhammad’ dan beberapa lagi yang memprovokasi semangat perkauman.