Adakan PRU-13 sekali lagi dengan pucuk kepimpinan SPR yang baru, atau berpakat dengan Pakatan Rakyat (PR) untuk tubuhkan Kerajaan Front Bersatu di mana jawatan penting kerajaan dikongsi secara bergilir-gilir ala-Switzerland. Pemimpin Cina dalam PR boleh mengisi kuota jawatan Cina dalam kabinet. -marhaintua-
Bermula jam 7.30 malam tadi orang ramai daripada pelbagai umur dan kaum telah berkumpul di Stadium Kelana Jaya untuk mendengar ucapan pemimpin Pakatan mengenai keputusan gagasan itu terhadap sikap BNU (Barisan Nasional/UMNO) memenangi pilihan raya umum 13 (PRU-13) secara penipuan terancang.
Semasa menulis artikel ini saya baru sahaja menerima laporan daripada beberapa teman-teman Melayu bahawa keadaan memang sesak dan gamat. Walaupun hujan ribut pada waktu maghrib, orang tidak berhenti masuk berpusu-pusu ke stadium itu untuk mendengar ucapan pemimpin mereka.
Semua ini gara-gara beberapa faktor yang mesti difahami oleh Najib Tun Razak dan jentera parti BNU.
Satu artikel di Utusan Melayu, “Apa Lagi Cina Mau” adalah satu artikel yang ternyata amat menghiris hati dan memang bersifat mencetuskan sentimen perkauman.
Artikel itu adalah satu kesinambungan kenyataan Najib yang berkata beliau kecewa dengan sikap pengundi Cina yang mencetuskan ‘Tsunami Cina’ dalam PRU 13, kerana itu keputusan pilihan raya walaupun memihak kepada BNU, undi popular telah dimenangi oleh PAKATAN sebanyak 54%.
Celaan Dr. Mahathir yang menyebut orang Cina memang tidak tahu berterima kasih dan orang Melayu yang tamak menyokong parti pembangkang, seolah-olah orang Melayu yang tidak menyokong BNU itu adalah Melayu yang bodoh. Sedangkan Melayu yang memihak kepada parti pembangkang adalah Melayu yang menganggotai PAS, DAP dan PKR serta memberikan undi mereka kepada parti-parti yang tidak menganggotai BNU.
Najib, Mahathir dan pemimpin BNU memang tersilap.
Cemuhan mereka terhadap orang Cina dan menyebut kaum itulah yang mencetuskan apa yang mereka sebut sebagai “Tsunami Cina” adalah satu tuduhan yang kurang bijaksana. Pada pilihan raya ke-12 pada 2008 dahulu, RAMAI CALON BNU TELAH KALAH gara-gara kaum India mengambil sikap mengetepikan calon-calon BNU dan memihak kepada PAS, PR dan DAP.
Sewaktu itu calon PKR, DAP dan PAS masih belum betul-betul capai permuafakatan untuk menandingi calon BNU secara bersatu padu. Tetapi pada PRU-13 ini, pakatan tercapai untuk mereka melawan BNU secara satu lawan satu. Hanya di beberapa tempat sahaja ada lebih daripada dua penjuru perlawanan itu kerana adanya beberapa ahli parti masing-masing yang bertanding atas tiket bebas.
Kenapa PAKATAN tolak keputusan PRU-13?
PAKATAN RAKYAT ataupun PR telah menolak keputusan pilihan raya itu kerana yakin mereka telah dinafikan kemenangan melalui penipuan. Terlalu banyak contohnya seperti menggunakan orang asing untuk mengundi dengan memberikan mereka IC ataupun MyKad biru. Ada yang ditangkap dan diminta menyanyikan “Negaraku” tetapi tidak mampu melagukannya.
Ada pengundi yang didapati diterbangkan daripada Malaysia Timur dengan menaiki syarikat penerbangan mesra-UMNO. Pihak PR telah menerima salinan manifest dan komunikasi daripada syarikat penerbangan tersebut seperti yang dibentangkan di internet.
Di beberapa pusat mengira undi, berlaku ‘blackout’ bekalan elektrik semasa calon BNU didapati sedang kekalahan. Tetapi, bila disambung semula bekalan itu, pihak BNU yang kalah didapati menang dengan kiraan antara 100 hingga 300 undi. Ini yang berlaku di PUTRAJAYA, Bentong, Segamat dan beberapa stesen lagi.
Ada beberapa kes di mana peti undi dan kertas yang sudah siap dipangkah dibawa masuk semasa perkiraan sudah dimulakan. Ini berlaku di Lembah Pantai.
Di Sungai Siput (U), kertas undi telah digugurkan daripada helikopter untuk dijadikan kertas undi yang siap dipangkah memenangkan calon BNU.
Suruhanjaya Pilihan Raya Harus Bertanggungjawab
Pengerusi SPR dan pegawai tingginya harus meletakkan jawatan dan tinggalkana SPR. Biarlah pegawai pertengahan memikul tanggungjawab dan membersihkan SPR.
Bermula dari kes dakwat kekal yang sepatutnya boleh kekal di jari selama satu minggu hinggalah kes pegawai SPR menghalau pemerhati calon keluar dewan kerana mereka mahu berehat. (Di Tapah, Saravanan menendang kerusi dan menghalau para PACA keluar dewan – kerana nak sumbat kertas undi hantu untuk dia menang) sudah menjadi satu kes besar yang sepatutnya mengharamkan pilihan raya yang ditandinginya.
Memang terlalu banyak kes yang boleh disebut di sini. Adalah diharapkan akhbar parti PR membuat satu penyata dan laporan khas selama satu minggu dalam keluaran risalah mereka dan naikkan harga akhbar mereka satu ringgit untuk menampung kos itu. Biar rakyat marhaen membaca dan menyimpannya sebagai bahan sejarah.
Apa Kesan dari Semua Ini?
Semangat bantahan sudah dimulakan, laksana lampu yang dipasang suisnya, selagi suis itu tidak ditekan balik, lampu itu tidak akan padam. Tanpa mengusik suis, lampu akan padam kerana terbakar, ataupun dipecahkan. Inilah fenomena kebangkitan rakyat. Lihat apa yang berlaku di merata dunia. Kerana kebangkitan rakyat itu selalunya diiringi dengan semangat dan rohnya.
Himpunan rakyat di Kelana Jaya malam tadi mencecah 120,000 orang. Bukan senang hendak tutup suis kemarahan di hati mereka.
Sebenarnya Najib dan pemimpin BNU telah tersilap mengatakan bahawa kaum Cina telah melancarkan “Tsunami Cina”.
Tidak!!!!!!!!! Sesekali tidak. Apa yang berlaku adalah Tsunami politik rakyat marhaen. Ini bererti kaum Cina, Melayu dan India, Benggali, Kadazan Dusun dan Murut, Bidayuh, Iban, Suluki, Bajau, orang laut dan orang bukit – semuanya telah melancarkan Tsunami Rakyat Marhaen.
Kebangkitan ini tidak ketara kerana Najib tidak sedar bahawa inilah bahana menggunakan pengundi hantu. Yang nampak seolah-olah ini adalah kerja kaum Cina adalah perbuatan yang teramat ketara.
Inilah bahana Projek IC yang dianjurkan oleh TKT Mahathir, bersama Aziz Shamsuddin dan Megat Joned.
Kalau kita perhatikan kemenangan BNU kebanyakannya di kawasan yang terletak di luar bandar. Jauh daripada bandar-bandar besar dalam pemilihan wakil parlimen. Dalam pemilihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kita dapat lihat bahawa kebanyakan kemenangan calon BNU adalah sekitar 1,000 undi ataupun kurang dari itu.
Kenapa? Kerana di kerusi itu semua, banyak pengundi hantu yang digunakan dengan mudah. Pengundi ini tidak perlu dibawa masuk daripada Sabah ataupun Sarawak. Memadai menggunakan buruh pendatang yang bekerja di ladang-ladang dan rancangan tanah sahaja. Mereka perlu dibayar hanya antara 40 hingga 100 ringgit sahaja.
Mungkin setakat ini para pembaca boleh sedar kenapa Najib begitu yakin akan menang dalam PRU-13. Kenapa Daim Zainuddin begitu lantang bersuara meramalkan kenapa BNU akan menang.
Najib yakin kerana dia tahu berapa banyak wang yang dikeluarkannya untuk menanggung kos suapan dan sogokan di merata tempat. Daim konfiden kerana dia sudah tahu apa rancangan besar yang disediakan oleh UMNO untuk terus menang. Pengundi Melayu di Kedah telah disediakan wang suapan oleh pemimpin veteran UMNO tertentu untuk menentukan Mukhriz Mahathir naik menjadi Menteri Besar Kedah.
Najib pernah melalak akan merampas Selangor dengan majoriti dua pertiga di Selangor dan Kelantan.
Keyakinan Najib, Mahathir dan Daim adalah didorong kepada keyakinan mereka menggunakan semua agensi kerajaan untuk memihak kepada BNU. Semasa tempoh berkempen mereka telah gunakan semua saluran media untuk sebarkan fitnah dan propaganda tanpa memberikan ruang dan masa untuk PKR bersuara.
Mereka telah milik-peribadikan badan kehakiman, imigresen, PDRM, semua badan berkanun, SPR, Air Asia, Bas-bas tentera, MAS, kenderaaan badan berkanun, lori-lori kerajaan, TNB, Telekom, Majlis-majlis perbandaran, guru sekolah dan banyak lagi,
Najib, Mahathir dan Daim tidak sedar ramai pengundi Cina diaspora yang sanggup balik daripada Jepun, Amerika, Australia, England, Hong Kong, dan Singapura untuk mengundi calon PR.
Najib, Mahathir dan Daim tidak menyangka bahawa jumlah pengundi hantu yang ditaja dan dibawa masuk tidak mencukupi untuk menandingi kepulangan rakyat Malaysia daripada seberang laut.
Yang tidak mereka duga sama sekali ialah ketahanan rakyat marhaen menyekat kemasukan pengundi hantu itu.
Kesinambungan Projek IC HARAM di Semenanjung
Projek IC haram yang telah dilancarkan oleh Mahathir satu ketika dahulu di Sabah pada asalnya, dan kemudiannya dibuat juga di Pantai Timur terutama sekali di Terengganu, sudah makan tuannya, yakni rakyat Malaysia yang sah.
Pada tahun 2004 dan 2008 dahulu, Projek IC di Sabah telah menular ke Terengganu untuk menjamin kerajaan BN tetap mengungguli Terengganu dan dari situlah kerajaan BNU terus bertapak, dan royalti minyak yang digantung semasa kerajaan PAS mentadbir negeri telah dipulangkan balik kepada kerajaan negeri BNU.
Di zaman Paklah, Idris Jusuh berjaya merampas Terengganu daripada kerajaan PAS. Pada ketika itu ada peratusan jumlah pengundi mencecah sampai 90%. Apabila BN menang dan Idris Jusuh dapat royalti minyak kembali maka mucullah seorang peniaga Cina bernama Patrick Lim yang difaraidkan wang royalti itu untuk memperkayakan segelintir orang UMNO dan suku-sakat Paklah.
Kalaulah sebahagian wang royalti itu digunakan untuk membeli beberapa kelab bola sepak ternama di Eropah, sudah tentu ramai anak-anak Terengganu yang menjadi pemain professional yang bergaji lumayan di sana sekarang ini.
Begitu juga selepas PRU-12, Sultan Terengganu tidak berkenan Idris Jusuh menjadi Menteri Besar, tetapi penggantinya pun dua kali lima juga.
Banyak pembikinan bangunan yang runtuh di merata Terengganu.. Apakah pada kali ini Sultan Terengganu akan merestui Ahmad Said terus menjadi menteri besar sekali lagi?
Sehingga hari ini dalam Terengganu memang sudah ada ramai pengundi hantu yang dapat menjamin BNU terus berkuasa di Terengganu.
Tetapi menjelang PRU-13, ramai pengundi hantu di Terengganu itu telah dipindahkan ke kawasan ladang di Kedah dan Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Kemasukan mereka dibuat secara senyap-senyap di mana ketua UMNO tempatan diberikan wang untuk menyediakan tempat tinggal dan makan-minum pengundi hantu itu beberapa hari sebelum hari mengundi.
Untuk Johor, kumpulan pengundi hantu yang baru telah dibawa masuk khas (ada yang daripada Singapore) untuk menjamin beberapa stesen undi yang terpilih sahaja seperti Pagoh, Semberong, Segamat, Batu Pahat, Pengerang, Pontian, Gelang Patah dan Johor Bahru. Kawasan lain sudah dianggap terlalu selamat kerana Johor adalah kubu kuat UMNO.
Kalau kita lihat Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah, orang Melayu sebenarnya sudah meninggalkan UMNO dan berpihak kepada PR. Kemenangan calon BNU sebenarnya adalah disebabkan pengundi hantu dan tidak semestinya pengundi Melayu.
Adalah tidak masuk akal, orang Melayu yang bertaqwa sanggup melihatkan keadaan haram yang dilakukan oleh BNU boleh berterusan. Adalah tidak masuk akal, orang Melayu yang kebanyakannya hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan hati boleh sanggup menafikan PR yang memberi tawaran yang akan sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka. Cuba fikirkan apakah tawaran yang dibuat oleh PR. Seperti turun harga minyak, tol dihapuskan dan sebagainya.
Kalau kita lihat hasil kiraan kertas undi di Perak, kita tentu hairan bagaimana BNU menang dengan majoriti yang kecil. Malahan, kalau tidak kerana bantahan dan manipulasi, Perak dan Negeri Sembilan sudah pasti jatuh ke tangan BNU.
Di Pahang, memang ternyata banyak campur tangan pengundi hantu di beberapa stesen undi yang dimenangi oleh Najib, Adnan Dr. Jamaludin Jarjis, dan Shaberi Chik.
Pada hemat saya, kalau ada pun ramai pengundi Melayu yang memilih calon-calon BNU adalah di Kedah, kerana di sana mereka dibayar upah untuk memangkah calon BNU. Saya tidak hairan bahawa wang itu datang daripada peti-perang (war-chest) DR M.
Yang paling menarik sekali ialah perkiraan kertas undi di Putra Jaya. Ku Adnan yang hampir kalah, tetiba naik mencanak mengalahkan Husam selepas berlakunya beberapa peristiwa pelik-pelik termasuk lampu terpadam. Sedangkan TNB telah menyatakan tidak ada berlaku sebarang keputusan bekalan (blackout) pada malam mengira undi.
Apapun, saya ingatkan semua pemimpin politik yang menang secara tipu muslihat ini, sedarlah!!!!!!!!! Anda akan mula makan-gaji haram untuk menyara anak bini ataupun suami.
APAKAH KESUDAHANNYA?
Kita boleh jangkakan bahawa himpunan manusia seperti yang berlaku di Stadium Kelana Jaya akan terus diadakan di merata negara selepas ini.
Lebih tujuh puluh peratus yang datang itu adalah orang muda yang berusia bawah empat puluh lima tahun. Bererti kebanyakan mereka lahir selepas 1969.
Kalau berkumpul dan berdemo tak mengapalah. Tetapi, besar kemungkinannya kumpulan seperti itu tidak akan kekal berjalan dengan aman kerana masalah mencari tempat untuk berkumpul. Kecuali kalau demo untuk orang Perak dilakukan di sempadan Selangor di Tanjung Malim, dan untuk orang Kedah dan Perak dilakukan di kawasan tanah besar kerajaan Pulau Pinang. Untuk orang Johor dilakukan di Gelang Patah, dan Bukit Katil untuk orang Melaka. Teluk Kemang untuk orang-orang Negeri Sembilan.
Najib harus berunding untuk adakan PRU-13 kali kedua
Sama ada Najib suka ataupun tidak, dia mesti berunding dengan PR untuk sama-sama setuju adakan PRU-13 kali kedua.
Inilah jalan yang paling baik untuk selamatkan negara ini.
Najib tentu sudah sedar sama ada dia perlu ambil tindakan ini ataupun tidak, dia akan tetap diketepikan oleh UMNO semasa persidangan UMNO pada akhir tahun ini.
Rakyat marhaen terutama sekali orang-orang UMNO tentu sudah sedar bahawa UMNO sekarang adalah mainan perang beberapa tokoh UMNO veteran seperti Dr. M, Daim Zainuddin, Aziz Shamsuddin. Sanusi Junid dan Rafidah Aziz.
Mereka ini sudah menjadi kaya-raya dan mahu kekalkan kekayaan itu dengan menentukan UMNO terus bernafas. Mereka sudah terlalu taksub dengan khayalan bahawa UMNO akan hidup menongkat dunia sehingga lima puluh tahun lagi.
Najib harus biarkan demonstrasi rakyat ini tanpa menggunakan kekerasan. Pada waktu yang sama bentuk satu Jawatankuasa khas untuk berunding dengan pucuk kepimpinan PKR untuk adakan pilihan raya umum yang baru.
Najib boleh tubuhkan kerajaan Barisan Pakatan Nasional
Najib boleh mempelawa PR untuk sama-sama memerintah dalam satu bentuk Front Bersatu ataupun Barisan Pakatan Nasional, sambil merangka satu cara untuk melancarkan pilihan raya baru.
Sambil merombak segala kebajingan dalam sistem pemerintahan yang sudah lama berkarat, eloklah ambil contoh pentadbiran kerajaan di Switzerland di mana tiga jawatan utama seperti Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Kewangan dipegang silih berganti.
Kalau dapat ditubuhkan satu kerajaan baru ini buat tahun pertama bolehlah Najib menjadi Perdana Menteri, Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, Lim Kit Siang menjadi Menteri Luar dan TG Haji Hadi Awang menjadi Menteri Kewangan. Apabila selepas satu tahun, Anwar naik menjadi Perdana Menteri, TG Haji Hadi menjadi Timbalan Perdana Menteri, Lim Kit Siang menjadi Menteri Kewangan dan Najib menjadi Menteri Luar. Dan begitulah seterusnya sehingga timbul PRU-14 yang mesti diumumkan tarikhnya satu tahun sebelum langsungkan seperti yang diamalkan di Australia.
Najib tidak boleh biarkan dirinya dikotak-katikkan oleh orang luar seperti Mahathir, Sanusi Junid, Rafidah dan Daim. Dia mesti tahu mereka ini sedang merancang untuk mengnyah dia daripada kepimpinan UMNO tidak lama lagi.
Sebelum berlakunya pengundian, Najib sudah menjadi satu “marketing brand” untuk BNU. Sayang, rencana beliau untuk menjadi popular melalui pemberian subsidi BRIM dan sebagainya tidak dapat bertahan lama. Rakyat marhaen sedar bahawa sebahagian subsidi itu adalah cara membalunnya wang untuk pilihan raya juga. Begitu juga dengan projek penjualan bon Satu Malaysia, yang membolehkan sejumlah tujuh bilion dilarikan keluar negara.
Inilah legasi Najib sebelum dia berundur
Jika tidak, negara ini sudah pasti akan melalui pelbagai bentuk bantahan rakyat seperti mogok umum, hartal, piket sana-sini dan paling menakutkan anarki yang memberi ruang kepada rampasan kuasa menjurus pemerintahan tentera.
Walaupun beberapa panglima tentera berkata bahawa rampasan kuasa tentera tidak akan mungkin berlaku di negara ini, biarlah saya katakan, ini serba mungkin.
Sejarah menunjukkan tidak ada rampasan kuasa tentera yang dilaksanakan oleh panglima besar tentera di dunia. Selalunya dilakukan oleh pegawai berpangkat Kapten dan askar-askar di peringkat rendah sahaja.
Hanya selepas tercetus rampasan kuasa itu barulah pasukan yang melancarkan rampasan kuasa itu melibatkan panglima tertinggi untuk mengambil alih. Ini yang terjadi di Indonesia, Thailand dan Filipina.
Marhaintua – 8 Mei, 2013 (semakan/suntingan: M@RHAEN)