Tekanan politik Umno-BN punca polis terpaksa memanggil 28 individu termasuk beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang berceramah dalam Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat di Stadium Kelana Jaya, 8 Mei lalu, kata Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
“Ada kemungkinan tekanan dari BN. Sedangkan tak wujud pelanggaran Undang-undang oleh penganjur Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat,” katanya .
Tian berkata, Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat di Stadium Kelana Jaya dibenarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Tan Seri Ismail Omar sebelum ini menjelaskan bahawa sebarang perhimpunan mesti memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Akta Perhimpunan Aman 2012, termasuk syarat pihak penganjur mesti memastikan ia adalah satu perhimpunan aman.
“Memang ada hak untuk berhimpun. Polis tak pernah melarang. Ada kemungkinan tekanan dari Barisan Nasional untuk Polis menyiasat,” kata Tian.
Tegas Tian, kesimpulan ucapan pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO malam 8 Mei lalu adalah mengenai ketelusan perjalanan pilihan raya dan legitimasi kerajaan diterajui Datuk Seri Najib Razak.
“Kita tak iktiraf keputusan pilihan raya. Bermakna kemenangan BN adalah dengan cara tipu. Ini bermaksud Najib Razak bukan Perdana Menteri yang sah.” kata Tian.
Beliau turut mempertikaikan langkah Polis yang begitu pantas menyiasat pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO, dipercayai di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, namun masih belum ada siasatan berhubung salah laku pilihan raya.
“Yang kita pertikaikan ialah sistem pilihan raya. Jadi mengapa perlu ada siasatan di bawah Akta Hasutan?, soal Tian.
Justeru tegas Tian, Pakatan Rakyat akan meneruskan pendedahan dan penerangan penipuan pilihan raya umum ke-13 ke seluruh negara.
“Kita akan memobilisasi jelajah ke selirih negara untuk mencabar kesahihan pemerintahan Barisan Nasional,” kata Tian.