TEMERLOH: PAS Pahang menyifatkan BN menang dalam Pilihan Raya umum (PRU) ke-13 sebahagian disebabkan kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik khususnya melibatkan ketua tempat mengundi (KTM).
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ada diantara KTM tidak memahami peraturan pilihan raya mungkin kerana tidak diberi latihan mencukupi, sehingga berlaku kes serius yang membabitkan KTM antaranya tidak mengembalikan borang 14 (keputusan) kepada wakil parti yang bertanding dan ada yang memasukkan Borang 14 kedalam peti undi.
Menurutnya, sebagai contoh di Dewan Undangan Negeri (Dun) Guai, tiga borang 14 tidak diserahkan kepada wakil parti walaupun diminta oleh agen parti.
“Di Dun Dong, Raub, berlaku kes di mana KTM memasukkan borang 14 ke dalam peti undi dan di Dun Pulau Tawar pula berlaku kesilapan teknikal apabila borang parlimen bertukar dengan borang Dun,” katanya dalam sidang media hari ini selepas mesyuarat PAS negeri pertama selepas PRU13.
Tuan Ibrahim berkata, antara kepincangan lain yang berlaku ialah ada pengundi mendakwa namanya telah digunakan (diundi) oleh orang lain menyebabkan indivdu berkenaan tidak dibenarkan mengundi. Ini berlaku dalam Dun Kuala Semantan dan PAS telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.
Beliau berkata, selain itu ada juga laporan mengenai lima pengundi warga emas berusia 80 tahun yang nama mereka didaftarkan sebagai pengundi undi pos.
Tuan Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat Pahang sedang meneliti kes-kes berkenaan dan akan membuat sekurang-kurangnya tiga petisyen (bantahan kemenangan BN) kepada SPR melibatkan Parlimen Bentong, Dun Damak, Jerantut dan Dun Dong, Raub dalam tempoh 21 hari selepas diwartakan.
“Tugas SPR ialah mengembalikan keyakinan kepada rakyat terhadap suruhanjaya berkenaan selepas ini kerana kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin SPR banyak yang menunjukkan badan tersebut tidak berdiri sama tepat dan boleh dipertikaikan,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, PAS menolak dakwaan Barisan Nasional (BN) bahawa berlakunya ‘tsunami Cina’ ini kerana ada tujuh kerusi parlimen dan banyak Dun yang calon Melayu Melayu menang menewaskan calon dari MCA dan juga Gerakan (Cina) dari BN.
“Bagi PAS Pahang, secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan apabila PAS berjaya mengekalkan kerusi Dun Kuala Semantan (Syed Hamid Muhamad dan Beserah (Andansura Rabu) selain merampas kerusi Tanjung Lumpur (Rosli Abdul jabar) dan turut menang di Parlimen Temerloh (Nasruddin Hassan),” katanya.
Kejayaan memenangi kerusi Parlimen Temerloh adalah catatan sejarah kerana sebelum ini PAS Pahang belum pernah memenangi kerusi parlimen.
Menurut Tuan Ibrahim PAS akur dengan keputusan rakyat di luar bandar dan di Felda yang menolak PAS dan percaya kekalahan PAS adalah sebabkan oleh penggunaa agensi kerajaan dan campuran tangan Felda yang keterlaluan.