Nyanyian lagu ‘Negaraku’ beramai-ramai oleh 30,000 hadirin mengakhiri program ‘Black 505 Suara Rakyat Suara Keramat’ di perkarangan pejabat KEADILAN Ranting Puteri Wangsa di Taman Puteri Wangsa malam tadi.
Meskipun dalam keadaan hujan renyai dan kebanyakan hadirin terpaksa meredah kesesakan lalu lintas, namun tidak menghalang puluhan ribu rakyat Johor yang majoritinya anak-anak muda membantah keputusan pilihan raya umum ke-13.
Lokasi program pada awalnya dirancang diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru, namun dipindahkan ke Sutera Mall, Skudai ekoran tekanan pihak tertentu.
Penganjur kemudiannya memaklumkan, Taman Puteri Wangsa adalah lokasi terakhir program dalam DUN Puteri Wangsa yang dimenangi Pakatan Rakyat.
Puluhan warung makanan dan busana Pakatan Rakyat mengelilingi tapak ceramah, menjadikan acara ‘Black 505’ seperti ekspo perniagaan.
Suasana hingar-bingar dengan tiupan vuvuzela dan wisel sebaik pengacara majlis mengumumkan program bermula kira-kira jam 8.30 malam.
Pelbagai gelagat dan aksi hadirin dirakamkan. Antaranya ada hadirin yang sanggup memanjat pokok dan naik ke bumbung bangunan untuk mendengar ucapan pemimpin Pakatan Rakyat.
Manakala sebahagian anak-anak muda menjadikan himpunan ‘Black 505’ sebagai kempen anti-perkauman melalui mesej tertulis di plakad dan kain rentang.
“Program ini sangat berjaya. Walaupun dengan notis satu hari, orang ramai tetap datang ke program,” kata Azlan Ishak, salah seorang urusetia program.
“Peniaga di kawasan tapak ceramah pun beri kerjasama. Mereka tutup kedai awal untuk beri laluan kepada program kita.
“Ini membuktikan program himpunan dianjurkan Pakatan Rakyat berlangsung secara aman dan mematuhi undang-undang,” kata Azlan.