Rakyat perlu ambil semula demokrasi yang dicuri dari Pilihan Raya Umum ke 13, kata jurucakap gabungan Suara Rakyat 505, Badrul Hisham Shaharin dalam sidang media 20 Mei lalu.
Gagasan Suara Rakyat 505 , gabungan 48 NGO seluruh Malaysia itu turut mengumumkan pelancaran ‘Pesta Himpunan Rakyat Tuntut Demokrasi’ pada 25 Mei di Padang Timur MBPJ bersebelahan Amcorp Mall, Petaling Jaya
Pesta kebangkitan rakyat akan menghimpunkan rakyat dari seluruh negara agar bangkit menjadi kuasa ketiga dalam menghadapi penipuan pilihan raya
“Kita akan dedahkan semua bukti jelas yang kita kumpulkan dari semua Parlimen dan Dun.
“Kita juga akan tampilkan saksi-saksi yang terlibat menguruskan pilihan raya, dan semua ini telah kita kenalpasti dan tapis kesahihannya,” kata Badrul yang juga presiden SAMM
Badrul juga mengingatkan kepada pihak berkuasa dan rakyat Malaysia agar tidak termakan dengan provokasi unit saraf BN yang cuba mengambil kesempatan daripada mood kemarahan rakyat.
“Pesta rakyat ini tiada kena-mengena dengan menggulingkan kerajaan sebaliknya kita tuntut kembalikan hak rakyat dengan cara paling demokrasi, kita akan bagi pengarahan yang jelas kepada rakyat,” katanya lagi
Sementara itu, Presiden SMM Safwan Anang mengingatkan bahawa himpunan kali ini tidak ada kena mengena dengan ‘Malaysia Spring’ seperti yang digembar gemburkan media arus perdana
“Malaysian Spring hanya agenda yang direka untuk menakut nakutkan rakyat, kami mahasiswa terlibat secara profesional dan kami yakin, SPR bertanggungjawab dalam penipuan yang berlaku, kami tuntut mereka letak jawatan,” kata Safwan
Suara Rakyat 505 antara lain menuntut tiga perkara; Pembubaran SPR bagi memberi laluan kepada SPR yang dilantik secara ‘pendengaran awam’ dan diletakkan dibawah kuasa parlimen Malaysia, mendesak pilihan raya semula di tempat yang terbukti wujud penipuan dan menyokong tribunal rakyat yang diperjuangkan oleh Bersih.