Barisan Nasional (BN) yang baru memenangi Pilihanraya Umum (PRU) ke – 13 dengan mandat 47% undi popular nampaknya tidak pernah belajar dan insaf di atas perbuatan mereka yang menimbulkan rasa benci rakyat ke atas mereka.
Terbaru, penangkapan Chua Tian Chang atau lebih dikenali dengan nama Tian Chua, Dato’ Mohd Tamrin Tun Abdul Ghafar Baba, Haris Ibrahim dan Badrul Hisham Shahrin (Chegu Bard) di bawah Akta Hasutan di samping serbuan dan rampasan akhbar-akhbar rasmi milik PAS dan PKR iaitu Harakah dan Suara Keadilan adalah bukti terbaru bagaimana Umno – BN meneruskan amalan jahat mereka menyalahgunakan undang-undang dan pihak berkuasa untuk menekan musuh politik mereka.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata Akta Hasutan yang dijanjikan akan dimansuhkan terus digunakan sebagai senjata untuk menakutkan rakyat. Pada masa yang sama, perbuatan jenayah mengapikan-apikan isu perkauman dan tindakan-tindakan berbaur ugutan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno dan akhbar Utusan Malaysia terus didiamkan tanpa sebarang tindakan diambil.
“Janji Perdana Menteri untuk melaksanakan rekonsiliasi nasional selepas BN mencatat keputusan terburuk dalam sejarah pilihanraya terbukti palsu dan tak lebih dari sekadar kata-kata yang dilafazkan oleh orang yang sedang mabuk.
“Saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak segala tindakan zalim ini dihentikan serta merta. PDRM di bawah teraju Ketua Polis Negara yang baru tidak seharusnya menjadi perkakas politik Umno – BN. Tugas kerajaan dan polis adalah melindungi dan menghormati rakyat, bukannya menindas seteru politik untuk menutup kepincangan yang dilakukan Umno – BN,” katanya.