Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dituntut memberi penjelasan lanjut berhubung pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Melaka dan jangan berdolak dalik mengenainya, kata Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Md Akin.
Shamsul mengulas penyebaran maklumat di laman sosial berhubung lokasi pemasangan AES di negeri itu, sedangkan Hishammuddin mengatakan tiada keputusan dibuat berhubung pelaksanaan di seluruh negara,
“Bagaimana senarai ini boleh bocor atau ia sudah dalam pengetahuan Hishammuddin, namun beliau hanya berpura-pura tidak tahu mengenainya? “Kenyataan Hishammuddin ini jelas bertentangan dengan situasi sebenar.
“Malah kenyataan beliau itu satu pembohongan dan bertentangan dengan integriri menteri kerana tidak boleh membohongi rakyat jika sesuatu keputusan belum di umum kerajaan,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Melaka.
Mengulas lanjut, Shamsul menegaskan pemasangan AES hanya menekan rakyat dari segi ekonomi selain sistem itu sendiri memiliki banyak masalah sebagaimana didedahkan baru-baru ini.
Pakatan Rakyat tegasnya, senada dengan sentimen rakyat yang mahukan sistem itu dibatalkan serta-merta berbanding BN yang mahukan AES dilaksana kerana ia dikendalikan bersama oleh syarikat kroni Umno.
Sebagai contoh katanya, Kedah yang diperintah Pakatan sebelum ini menolak AES, namun pada 24 Mei lalu, Umno BN Kedah memutuskan akan melaksanakannya ekoran kejayaan parti itu merampas negeri itu pada Pilihan Raya Umum 5 Mei lalu.