Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melihat khabar angin yang dikatakan bahawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Perak akan ‘melompat parti’ dan menjatuhkan Kerajaan Negeri BN Perak amat serius.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss berkata peristiwa yang pernah berlaku seawal Februari 2009 semasa rampasan kuasa jahat oleh BN yang telah menjatuhkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Perak perlu diambil iktibar jika ingin menerima Adun kali ini.
“Kami tidak bersetuju sama sekali jika benar ada ADUN BN yang akan melompat bagi menumbangkan kerajaan negeri di Perak.
“Kami berharap kepimpinan PR tidak mengulangi ‘kemarahan rakyat’ ketika kita pernah ditumbangkan dalam keadaan yang sama.
“Bagi kami, jika ketidakpuasan hati ADUN BN terhadap kepimpinan Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir adalah masalah di antara mereka dan tiada kaitan dengan PR sama sekali,” katanya.
Menurut Dr Raja Ahmad walaupun beberapa janji Datuk Seri Zambry gagal dalam melantik EXCO mengikut daerah tetapi hasilnya itu bukanlah alasan untuk berlaku lompat parti.
“Ini tidak termasuk Datuk Nasarudin Hashim, ADUN Kawasan Bota yang pernah dijanjikan EXCO oleh Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Tan Sri Mohamed Ghazali dahulu yang pernah dikatakan merajuk dan keluar parti dahulu masih juga tidak dilantik.
“Tetapi bagi kami, jika benar beberapa orang ADUN BN yang ingin melompat, sepatutnya dikembalikan kepada rakyat iaitu memberikan usul tidak percaya kepada Datuk Seri Zambry dan seterusnya membubarkan DUN Perak bagi diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) peringkat Negeri Perak. Inilah cara yang terbaik dan sewajarnya kepada ADUN BN yang menolak kepimpinan Datuk Seri Zambry dan peluang rakyat memilih kembali PR untuk memerintah Perak,” katanya dalam kenyataan media.