Tindakan Umno BN yang mahu memfailkan lebih 50 petisyen kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) hanya membuktikan bahawa Umno BN sendiri tidak percaya kepada kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengendalikan proses pilihanraya.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution berkata, tindakan itu juga turut mengesahkan dan mengukuhkan dakwaan Pakatan Rakyat sebelum ini bahawa memang wujud kelemahan dan kecurangan dalam PRU lepas.
“Kaedah petisyen yang dilakukan oleh mana-mana parti politik adalah apabila mereka merasakan tidak yakin dengan keputusan pilihanraya yang diperoleh ekoran beberapa sebab tertentu.
“Jadi tindakan Umno BN ini hakikatnya akan memalukan SPR sebagai badan bertanggungjawab yang mana sebelum ini kerap kali mendakwa melaksanakan amanah dengan telus dan adil baik sebelum, semasa dan selepas pilihanraya.
“Ini beban baru SPR yang perlu mereka jawab selepas Pakatan berjaya membuktikan segala kecurangan yang wujud dalam pelbagai segi seperti senarai daftar pemilih, isu dakwat kekal, blackout semasa pengiraan undi dan sebagainya,” ujar Saifuddin kepada Suara Keadilan.
Secara tidak langsung pula, ujar Saifuddin, tindakan Umno BN itu hanya meludah ke langit kerana mereka juga sebelum ini bersungguh-sungguh mempertahankan ketelusan SPR.
“Tetapi sekarang, Umno BN pun tidak percayakan kepada SPR dan SPR harus ingat inilah padahnya apabila cuba mengkhianati amanah yang rakyat berikan untuk menikmati proses demokrasi pilihanraya yang bersih dan adil.
“Kalau sebelum ini, SPR sekadar mencuci tangan sahaja dengan memberikan pelbagai alasan dangkal apabila Pakatan kemukakan bukti kecurangan, sekarang mereka tidak boleh ambil ringan lagi bukti yang rakyat berikan,” katanya.