Setelah mengancam untuk mengadakan mogok lapar di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kira-kira 40 orang penduduk perumahan Estet Batu, berhampiran Jalan Duta berjaya menghalang kediaman mereka daripada dirobohkan oleh DBKL pada 3 Mac ini.
Wakil penduduk pada minggu lalu telah menemui pegawai DBKL bagi meminta tangguhan notis merobohkan rumah di bekas Estet Batu namun Datuk Bandar enggan mengeluarkan sebarang janji. Oleh yang demikian mereka hadir semula pada hari ini untuk menganjurkan mogok lapar sekiranya DBKL berkeras membantu pemaju merobohkan kediaman mereka menggunakan kuasa di bawah Ordinan Darurat 1967.
“Bila estet diberhentikan (ladang ditutup) para pekerja diberi wang pampasan dan dibenarkan tinggal diestet. Itu terdapat dalam akujanji pemilik estet dengan pekerja. Jika tanah estet itu akan dijual maka penghuni akan diberi rumah.
“Sebelum ini kita sudah datang sini tetapi DBKL tidak beri keputusan. Sebab itu kami akan buat mogok lapar sehingga ada keputusan,” kata Vijaya Veeran, salah seorang penduduk kampung tersebut.
Naib Presiden PKR, N Surendren pula berpendapat DBKL tidak sepatutnya masuk campur dengan menggunakan undang-undang darurat merobohkan kediaman penduduk
“Mengapa DBKL masuk campur menggunakan undang-undang darurat. Darurat sudah 30 tahun berlalu, mengapa masih digunakan sehingga sekarang. Ini menindas rakyat. Kita ada proses mahkamah. Perintah mahkamah. Kenapa DBKL bantu pemaju?
“Mereka akan mengadakan mogok lapar. Ada 38 keluarga, mereka tak boleh pergi mana, rumah akan dirobohkan 2 hari lagi,” katanya.
Pegawai DBKL, Nazri Alimat turun menghadapi penduduk pada pukul 11.00 pagi dan membenarkan penduduk berjumpa pegawai tinggi DBKL di tingkat 3.
Mesyuarat berlangsung selama sejam sebelum DBKL mengumumkan akan memberi peluang penduduk berunding dengan pemaju dan tidak akan merobohkan rumah penduduk pada 3 Mac ini.
“Penduduk hantar memorandum minta supaya mereka bincang dengan pemaju tanpa guna akta darurat. Kita beri mereka bincang dengan penduduk hingga ada keputusan mahkamah,” kata wakil DBKL.
Menurutnya, DBKL tidak akan campurtangan sebaliknya akan membantu penduduk memperolehi rumah.
“DBKL tak campurtangan, malah kita tawarkan rumah. Kita simpati dengan mereka yang tidak ada rumah. Mayland (syarikat pemaju) memang menawarkan kita tanah untuk dibangunkan membina rumah penduduk tetapi kawasan itu sangat curam dan perlukan belanja yang banyak untuk ditambak sebelum dibina rumah,” katanya.
Tambahnya, selepas ini DBKL akan menyerahkan kepada kebijaksaaan penduduk dan pemaju untuk berunding.
“Minta mereka berbincang dengan pemaju. Oleh itu tak ada perobohan pada 3 Mac ini. Kita tangguh dulu perobohan. Kita juga tidak mahu dilihat menyebelahi pemaju dalam hal,” akhirinya.
Menyambut pengumuman itu, di perkarangan bangunan DBKL Suredran mengalu-alukan keputusan berkenaan. Beliau berharap DBKL pada masa depan tidak lagi menyebelahi pemaju menggunakan undang-undang memaksa penduduk meninggakkan kawasan kediaman mereka.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.