IPOH:Cadangan pihak polis untuk mewujudkan zon tanpa motosikal di Bandar-bandar besar untuk membenteras jenayah adalah satu tindakan yang mendiskriminasi penunggang motosikal, kata Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu menjelaskan, pihak Polis tidak seharusnya memikul kegagalan mereka menangani gejalah jenayah dibahu penunggang motosikal.
Jelasnya, tindakan tersebut terlalu drastik yang sudah pasti menimbulkan lebih banyak masalah khususnya kepada warga kota.
Cadangan tersebut katanya bersifat diskriminasi terhadap penunggang motosikal yang jumlahnya sangat ramai di bandar-bandar.
“Polis tidak sepatutnya menyandarkan kegagalan mereka untuk membenteras jenayah di bahu penunggang motosikal, ini sangat tidak adil kepada kelompok itu.
“Mereka yang diberi tanggungjawab haruslah menangani masalah jenayah dengan kaedah yang lebih realistik serta rasional dan tidak menimbulkan bebanan kepada mana-mana pihak,” katanya kepada media.
Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak itu berkata, tindakan tersebut tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya mewujudkan lebih banyak permasalahan lain yang sudah pasti akan dibebani oleh warga bandaraya.
Beliau menjelaskan, perlaksanaan tersebut akan menyusahkan warga kota untuk menjalani kehidupan seharian dalam suasana setempat yang sesak.
Kata Raja Iskandar, masyarakat di bandar mengalami proses kehidupan yang sangat terbeban dengan kos hidup yang tinggi serta gaji yang sangat minimum.
Penggunaan motosikal kata beliau adalah satu cara untuk mengurangkan kos hidup masyarakat bandar khususnya yang berpendapatan rendah.
Cadangan itu juga katanya sedikit sebanyak menjejaskan beberapa sektor yang bergantung harap kepada motosikal seperti penghantaran surat dan penghantaran makanan bergerak.
“Pihak Polis yang mempunyai pelbagai golongan minda pemikir sepatutnya dapat memikirkan satu kaedah pencegahan yang benar-benar efisyen dan mempunyai keberkesanannya.
“Jangan melakukan tindakan terlalu gopoh untuk menyelesaikan masalah sehingga menimbulkan permasalahan serta kemarahan rakyat.
“Cadangan ini sangat tidak adil kepada golongan berpendapatan rendah yang hanya bergantung dengan motosikal untuk menjalani kehidupan seharian, tidak semua mampu berkeretan dan sebagainya ditambah lagi dengan kehimpitan kos sara hidup,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, Raja Iskandar mempersoalkan adakah cadangan tersebut akan benar-benar dapat memerangi jenayah seperti yang dikatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Kata beliau, jika dilihat daripada kes-kes yang dicatatkan, kes jenayah bukan sahaja dilakukan oleh penjenayah bermotosikal sebaliknya pelbagai jenis dan cara jenayah yang dilakukan.
“Adakah pihak polis yakin dengan cadangan yang bagi saya tidak masuk akal itu? Adakah pihak polis sudah membuat kajian secara mendalam?
“Kesimpulannya, cegahlah jenayah dengan cara yang diajar oleh Allah dan ianya telah termaktub dalam Al-Quran kerana ianya sudah pasti berkesan,” jelasnya lagi.