Gabungan Suara Rakyat 505 yang terdiri daripada 55 badan bukan kerajaan (NGO) menyeru agak semua ahli parlimen Pakatan Rakyat memboikot sidang pertama Parlimen pada 24 Jun ini.
Menurut Pengerusi Asalkan Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim gabungan itu akan memulakan kempen kepada ahli politik tersebut minggu ini.
“Gabungan ini terdiri daripada golongan profesional, pelajar, aktivis dan meliputi semua rakyat yang hak mereka dicuri oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) serta kerajaan dalam PRU-13 lalu,” kata Haris dalam sidang media.
“Justeru, sebagai tanda perjuangan bersama rakyat, ahli parlimen diseru agar memboikot majlis angkat sumpah pada sidang Parlimen 24 Jun ini,” katanya.
Gerakan tersebut akan bergerak ke pejabat-pejabat ahli parlimen mulai esok untuk menyerahkan memorandum berhubung gesaan itu.
Menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin pula, dengan pemboikotan tersebut, akan menyukarkan kerajaan minoriti yang ada sekarang untuk bersidang.
“Kerajaan minoriti dengan undi 47% tidak mungkin boleh membuat persidangan sekiranya 51% ahli parlimen Pakatan Rakyat mengambil tindakan boikot, itu saaj sudah cukup buat (Datuk Seri) Najib (Razak) membatalkan sidang,” katanya.
Suara Rakyat 505 turut menyokong himpunan pada 15 Jun ini yang bertempat di Padang Merbok, Kuala Lumpur.
“Kita berjanji akan menggerakkan seluruh jentera serta masa bagi menjayakan himpunan tersebut,” katanya yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard.