Oleh Khaulah Azwar
Projek jejantas pejalan kaki menghubungkan KLCC ke Hotel Impiana terus dipersoalkan pelbagai pihak. Antara yang lantang mengecam kerajaan Barisan Nasional kerana membazirkan sumber negara untuk projek yang kurang berfaedah ialah ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
Katanya, projek jejantas yang menelam belanja RM10 juta untuk jarak sepanjang 142 meter itu amat membazir pada waktu ekonomi negara sedang meruncing sekarang.
“Mereka membina sesuatu projek tanpa memikirkan baik atau buruknya kesan kepada rakyat. Pembinaan dibuat hanya untuk pelancong-pelancong asing yang datang ke Malaysia, bukan untuk rakyat di Malaysia ini,”ujar Nurul ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Maulidur Rasul di Taman Selaseh, Gombak baru-baru ini.
Menurutnya lagi, dalam laporan Bernama pada 8 September 2010, Petronas telah menyumbangkan sebanyak RM100 juta kepada pembinaan jejantas dalam dua fasa bagi menyokong usaha kerajaan menggalak pertumbuhan industri perlancongan. KLCC Holdings Sdn Bhd merupakan subsidiari milikan penuh Petronas yang telah diberi mandat menguruskan peruntukan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai penyelaras projek untuk laluan penjalan kaki di KL.
“Laporan ini jelas menunjukkan Kerajaan Pusat (UMNO-BN) melalui Petronas menyediakan dana bagi projek jejantas 142 meter beserta fasa kedua sepanjang 375 meter yang akan menghubungkan Jalan Raja Chulan. Jikalau laporan ini benar, rakyat dapat menyimpulkan bahawa ia merupakan satu pembaziran yang amat besar apabila wang sebanyak itu dibelanjakan oleh syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC). Akhirnya yang menanggung beban adalah rakyat Malaysia, sedangkan subsidi rakyat menerusi Petronas telah dipotong secara konsisten dari semasa ke semasa.
“Apakah DBKL bersepakat dengan GLC untuk membina satu lagi infrastruktur awam yang terlalu tinggi kosnya atau DBKL dikecualikan dari meluluskan reka bentuk tersebut?. Jikalau DBKL dikecualikan dari proses memberi kelulusan maka kepada siapakah rakyat dapat bergantung harapan untuk memastikan kebajikan terjaga?.
“Apakah saya, anda dan semua rakyat di Kuala Lumpur dapat menikmati jejantas dan penjalan kaki yang serupa berhawa dingin dan berbumbung yang menghubungkan kawasan perumahan ke sekolah-sekolah dan tempat awam yang lain?
“Malangnya sehingga ke hari ini kita masih tidak mendapat jawapan dari Y.B Menteri dan Datuk Bandar bagi menjelaskan siapakah yang akan menangung segala kos pengendalian dan penyelenggaran projek jejantas yang maha mahal dan berhawa dingin ini,” bidas Nurul.
Tambahnya, Akhbar The Star 9hb Februari 2011 lalu telah menyatakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sri Ahmad Fuad Ismail dan ketua Pegawai Eksekutif KLCC Holding Sdn Bhd telah menandatangani surat perjanjian penyerahan jejantas dari KLCCH ke DBKL.
“Ini jelas terbukti secara terang-terangan konsep bina dan pindah milik “Buid and Transfer” telah digunakan secara diam dan tanpa pengetahuan umum dengan penuh tidak bertanggungjawab.
“Akhirnya wang rakyat akan digunakan menyelenggara kemudahan ini. Apakah DBKL akan mengenakan “TOL” kemudian membayar kos yang menggunung tinggi ini atau adakah ianya akan diswastakan? Berbagai persoalan telah mengetuk pintu hati kita untuk membongkarkan segalanya dan kita ingin mendapat kepastian daripada pihak tersebut,” tegasnya.
Nurul mengingatkan kerajaan agar jangan memabzir dan mendera rakyat dengan kenaikan harga barang keperluan hanya untuk memberi projek kepada segelintir kroni pemerintah. Perbuatan seperti itu hanya akan menambahkan rasa bosan dan benci rakyat. Faktor tidak lagi yakin kepada pemerintah menyebabkan kerajaan di Asia Barat digulingkan satu demi satu hari ini.
“Sepertimana berlaku dalam arus kebangkitan di Mesir, Hosni Mubarak telah digulingkan oleh rakyatnya sendiri berikutan pelbagai kezaliman yang dilakukan kepada rakyatnya. Kesabaran rakyat ternyata telah hilang dan mereka mencari ruang dan peluang untuk hidup dalam kebenaran dan keadilan.
“Saya yakin seluruh umat Islam akan menterjemahkan kepimpinan, risalah kebenaran serta keadilan dalam semua bentuk yang terbaik untuk membina kembali kegemilangan insaniah yang bertaqwa sebagai khalifah dimuka bumi ini,” akhirinya.
Sementara itu, Majlis Maulidur Rasul dengan kerjasama Penduduk Casmaria dan Jawatakuasa Penduduk JKP Zon 11 MPS telah mengistiharkan Juara perarakan Maulidurasul telah jatuh kepada Blok E dan Johan keseluruhan Acara sesi 2010 (Kebersihan, Kesenian Islam dan lain-lain acara) telah dikaut bersih Blok E dengan mata 96%. Manakala juara Azan jatuh kepada Adik Irfan Hadi Mohd Rashidi. Acara sambutan maulidurrasul tahun ini melibatkan penduduk kawasan kejiranan Casmaria dan Taman Selasih Fasa 2.
Majlis penyampaian hadiah tersebut telah disempurnakan Oleh Ahli Majlis MPS, Ustazah Khatifah Zamani Sulong dan Y.B Ustazah Dr Siti Mariah Mahmud Ahli Parlimen Kota Raja. Turut hadir menyerikan majlis Y.B Dr Halimah Ali Exco Kerajaan Negeri Selangor, Amirudin Shari Ahli Dewan Undangan (ADUN) Batu Caves.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.