Himpunan Black 505 akan diadakan pada hari Sabtu, 22 Jun 2013 di Padang Merbok bermula jam 12 tengah hari, umum Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
“Setelah berbincang dengan IPD Dang Wangi, penganjur membuat keputusan untuk menukar tarikh perhimpunan aman #Black505 di Padang Merbok ke minggu seterusnya pada 22 Jun 2013 bermula jam 12 tengah hari.
“Rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan menolak penipuan pilihan raya diseru turun beramai-ramai,” kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Beliau menyasarkan 300,000 hadirin turun bagi menuntut tiga perkara iaitu, seluruh ahli SPR meletak jawatan serta-merta dan ahli SPR yang baru dilantik secara bersama oleh Pakatan Rakyat dan kumpulan civil society.
Selain itu, tuntutan diadakan pilihan raya semula di 30 kawasan Parlimen yang dibuktikan penyelewengan dan menghentikan sebarang usaha meminda undang-undnang pilihan raya atau persempadanan semula sehingga ahli SPR yang baru dan adil dilantik.
Rafizi berkata, permohonan kepada DBKL untuk menggunakan Padang Merbok telah dibuat pada 7 Jun 2013, dua hari selepas permohonan pertama dibuat.
“DBKL mengesahkan tidak ada mana-mana pihak yang membuat permohonan mengadakan acara di Padang Merbok pada 22 Jun 2013.
“Oleh itu, tidak ada alasan untuk DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan bermain politik dengan melengah-lengahkan permohonan,” kata Rafizi.
Tegasnya, majoriti rakyat di Kuala Lumpur bersama-sama Pakatan Rakyat dan Menteri Wilayah perlu menghormati hasrat rakyat yang mahu berhimpun secara aman di Padang Merbok yang merupakan padang milik rakyat.
“Notis kepada IPD Dang Wangi akan dibuat esok dalam tempoh 10 hari seperti yang dituntut PDRM.
“Ini adalah ketetapan akhir dan tidak akan ada sebarang perubahan selepas ini, tidak kira apa alasan yang diberikan DBKL,” kata Rafizi sambil menggalakkan orang untuk berpakaian hitam dalam himpunan tersebut.