Dalam minggu ini berlangsung pertemuan antara Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.
Ahli politik Indonesia, Jusuf Kalla yang dikaitkan dengan persetiaan Najib – Anwar pada pilihanraya umum lalu menggesa kedua-dua belah pihak menerima keputusan PRU bagaimanapun tidak dijadualkan bertemu mana-mana pihak dari Malaysia.
Jusuf pernah menyalahkan Anwar kerana menganjurkan perhimpunan ‘Blackout 505’ kerana tidak mengiktiraf kemenangan Najib dan BN. Anwar berkata persetiaan itu hanya boleh berjalan seperti direncanakan sekiranya Najib tidak menipu dalam PRU.
Sesuatu yang tidak diberitahu secara jelas kepada rakyat Malaysia adalah isi butir-butir persetiaan itu. Anwar menandatanganinya setelah idea itu diendors oleh kepimpinan Pakatan Rakyat sedangkan Najib didakwa tidak pernah menandatanganinya. Bagaimanapun Najib lebih menghebohkan perjanjian tersebut berbanding Anwar.
Namun pertemuan mereka di Indonesia, sekiranya terjadi sebagaimana didakwa, masih tidak diketahui butir-butir perbincangan secara jelas. Pelbagai spekulasi dalaman menyebut Najib sedang kepanasan akibat arus kuat rakyat bawahan menolak kemenangan BN pada PRU 13.
Perhimpunan besar-besaran black out 505 yang akan diadakan di padang Merbok berhampiran bangunan Parlimen boleh sahaja menjadi aksi berpanjangan menentang upacara angkat sumpah di parlimen dua hari selepasnya.
Najib dicabar
Mungkin pertemuan itu untuk meredakan keadaan. Dengan Dr Mahathir yang mula melancarkan serangan ke atas Najib dan tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah bergerak mengumpulkan ahli parlimen Umno, Najib membayangkan sesuatu yang buruk sedang menunggunya pada hujung tahun.
Beliau mungkin dicabar sebagai presiden Umno dalam pemilihan parti . Atau mungkin oleh Tengku Razaleigh bersama puaknya mengasak Najib dalam ‘drama belah bahagi MP di parlimen’. Mungkin juga Najib akan terpaksa menghadapi demonstrasi lebih meluas rakyat.
Najib perlu menguruskan satu per satu krisis yang membelit dirinya secara teratur. Krisis bersama Anwar amat penting diuruskan dahulu. Sekiranya krisis selesai maka rancangan kerajaan untruk menaikkan harga petrol dan beberapa barang keperluan harian selepas Aidilfitri akan menjadi lebih mudah.
Gimik Razaleigh
Tunjuk perasaan tidak akan bergerak menjadi demosntrasi besar-besaran dan berminggu-minggu lamanya sekiranya Pakatan Rakyat boleh dijinakkan. Kenaikan harga barangan penting dalam ekonomi yang amat tertekan dan hutang luar yang menggunung tinggi. Begitu juga kenaikan cukai atau pengenalan cukai baru dalam bajet 2014.
Tengku Razaleigh akan lebih mudah diselesaikan sekiranya Pakatan Rakyat berubah jinak. Razaleigh tidak mempunyai kekuatan dalaman yang cukup untuk mencabar kekuasaan Najib dalam Umno.
Meskipun rundingan Anwar –Najib tidak boleh diketahui butirannya tetapi dalam beberapa minggu lagi sekiranya terdapat perubahan dalam politik Malaysia maka rakyat boleh meneka rundingan itu berjaya.
Namun jika situasi semakin merosot dan menjadi pertentangan tanpa ampun maka boleh diketahui pertemuan itu tidak wujud sama sekali.